‘Teparok’ jadi bahan mentah baja organik, makanan ternakan di Dalat

Pengerusi Koperasi Dalat Bestari Berhad, Muhammad Aznie Abdullah

Tumbuhan ‘teparok’ (dalam bahasa Melanau Dalat) atau keladi bunting yang banyak terdapat di Batang Oya kini dimanfaatkan sebagai bahan mentah dalam penghasilan baja organik dan makanan ternakan menerusi operasi Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat yang menggunakan teknologi Black Soldier Fly (BSF) atau lalat askar hitam.

Pengerusi Koperasi Dalat Bestari Berhad, Muhammad Aznie Abdullah, berkata pusat berkenaan dibangunkan untuk memproses bahan organik kepada produk bernilai tambah, dengan teparok menjadi antara sumber bahan mentah utama yang digunakan dalam pengeluaran baja organik dan makanan ternakan.

Menurutnya, penggunaan teparok bukan sahaja membantu menghasilkan produk bernilai komersial, malah secara tidak langsung membantu mengurangkan lambakan tumbuhan itu yang sekian lama mengganggu pengangkutan sungai dan aktiviti harian penduduk di Batang Oya.

“Teparok ini memberi masalah kepada penduduk kampung kerana kehadirannya yang banyak di sungai. Ia mengganggu pergerakan harian penduduk yang menggunakan laluan sungai.

“Daripada melihatnya sebagai masalah semata-mata, timbul idea untuk menjadikannya sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan menggunakan teknologi BSF,” katanya ketika ditemui di pusat berkenaan.

Baja organik

Muhammad Aznie berkata, idea penubuhan pusat itu dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang melihat potensi teknologi BSF dalam memproses bahan organik kepada produk bernilai tinggi, di samping memanfaatkan teparok yang banyak terdapat di Batang Oya.

Menurutnya, projek berkenaan kemudiannya direalisasikan dengan sokongan PETRONAS yang membiayai pembinaan pusat pemprosesan itu termasuk pembelian mesin dan peralatan yang digunakan dalam operasi harian.

“Sokongan PETRONAS membolehkan pusat ini dibangunkan dan beroperasi bagi menghasilkan baja organik dan makanan ternakan menggunakan teknologi BSF.

“Pada masa sama, teparok yang sebelum ini dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi dapat dimanfaatkan sebagai bahan mentah dalam proses pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, koperasi berkenaan mendapat bombingan daripada pakar dalam penternakan lalat askar hitam dan pemprosesan bahan organik bagi menghasilkan baja serta makanan ternakan.

Muhammad Aznie berkata, BSF adalah sejenis lalat yang bersih dan berbeza daripada lalat biasa yang sering dikaitkan dengan persekitaran kotor.

Katanya, kitaran hidup serangga itu bermula daripada pupa sebelum berkembang menjadi lalat dewasa dan teknologi berkenaan membolehkan larva BSF digunakan untuk memproses bahan organik menjadi produk bernilai.

“Di pusat ini, teparok yang dikutip dari sungai akan dihancurkan menggunakan mesin sebelum dicampurkan dengan sisa sawit daripada kilang berhampiran.

“Campuran itu kemudian diberikan kepada larva BSF sebagai makanan sebelum menghasilkan baja organik,” katanya.
Menurutnya, larva yang matang pula akan dikeringkan untuk dijadikan makanan ternakan, khususnya ayam dan ikan, manakala larva hidup juga boleh digunakan terus sebagai makanan ayam.

Beliau berkata, projek berkenaan turut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat apabila koperasi membeli teparok yang dikutip daripada sungai pada harga 40 sen sekilogram.

“Untuk skala operasi sekarang, kami menggunakan khidmat penduduk kampung untuk mengutip teparok sebelum dihantar ke pusat ini. Selain membantu membersihkan sungai, mereka turut memperoleh pendapatan tambahan melalui aktiviti itu,” katanya.

Muhammad Aznie berkata, pusat berkenaan kini beroperasi dengan tiga pekerja dan kapasiti pengeluaran semasa adalah antara 300 hingga 500 kilogram baja organik sebulan.

“Baja organik dibungkus dalam dua saiz iaitu pek tiga kilogram yang dijual pada harga RM10 dan pek kecil seberat 300 gram yang dijual pada harga RM2.

“Selain baja organik, kami turut menghasilkan makanan ternakan berasaskan larva BSF yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, kos pengeluaran produk adalah rendah kerana bahan mentah utama diperoleh daripada teparok yang dikutip di sungai, manakala sisa sawit yang digunakan diperoleh secara percuma dengan hanya melibatkan kos pengangkutan.

“Kos utama kami ialah pengangkutan dan upah pekerja. Sebab itu kos menghasilkan baja menggunakan kaedah ini agak rendah,” katanya.

Mengulas sambutan pengguna, Muhammad Aznie berkata maklum balas yang diterima setakat ini amat positif, khususnya daripada mereka yang menggunakan baja organik berkenaan untuk tanaman sayur-sayuran, lada dan bunga-bungaan.

Katanya, produk itu mendapat perhatian kerana dihasilkan secara organik tanpa campuran bahan kimia selain menunjukkan hasil yang baik terhadap pertumbuhan tanaman.

“Untuk makanan ternakan pula, pengguna turut memberi maklum balas yang baik terutama bagi penternakan ayam,” katanya.

Beliau berkata, pasaran produk ketika ini masih tertumpu di Dalat namun terdapat permintaan dan pertanyaan daripada pihak yang berminat menggunakan baja berkenaan untuk sektor perladangan sawit.

Bagaimanapun, katanya, kapasiti pengeluaran semasa masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam skala besar.

“Buat masa ini pengeluaran kami sekitar 300 hingga 500 kilogram sebulan, namun sasaran kami adalah untuk meningkatkan pengeluaran sehingga lima tan sebulan.

“Jika kapasiti pengeluaran dan jumlah pekerja dapat ditambah, saya yakin sasaran itu mampu dicapai dan membolehkan kami menembusi pasaran yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya.