Bagi penduduk kampung di daerah Dalat, pengumpulan ‘teparok’ (bahasa Melanau Dalat) atau keladi bunting yang dahulunya dianggap sebagai tumbuhan pengganggu kini menjadi sumber pendapatan sampingan selepas bahan itu dibeli oleh Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat.
Nurkhaleda Abdullah & Bedah Pak berkata, mereka mengutip teparok sekitar dua kali seminggu sebelum menjualnya kepada pusat berkenaan.
“Kami ambil teparok dalam kampung sahaja, tidak perlu pergi jauh. Biasanya kalau ada yang hanyut, kami simpan dalam kawasan tertentu supaya senang dikutip kemudian.
“Setiap kali kutipan, kami boleh dapat lebih 100 kilogram. Dalam seminggu kami mengutip dua kali, bergantung kepada permintaan daripada pihak pusat pemprosesan,” kata mereka.

Menurut mereka, teparok yang dikutip perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijual.
“Daun yang sudah mati dan akar perlu dibuang kerana pihak kilang hanya mahukan bahagian yang bersih. Kerjanya tidak terlalu susah, cuma perlu membersihkan teparok sebelum dihantar,” katanya.
Mengenai pendapatan yang diperoleh, mereka berkata hasil jualan teparok mampu menjana sekitar RM400 sebulan bergantung kepada jumlah yang dihantar.
“Kalau ada banyak permintaan dan tempat simpanan di kilang masih kosong, kami boleh hantar lebih kerap. Walaupun tidak banyak, ia tetap membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, mereka mengakui projek berkenaan turut membantu mengurangkan lambakan teparok yang sebelum ini menjadi masalah kepada pengguna sungai.
“Dulu teparok tumbuh terlalu banyak sehingga menyebabkan laluan sungai menjadi sempit dan menyukarkan pergerakan bot. Sekarang sekurang-kurangnya ada yang mengutip dan menghantarnya ke kilang untuk diproses.
“Keadaan sungai lebih baik berbanding dahulu walaupun masih ada teparok yang tumbuh dan hanyut di sungai,” katanya.
Penyediaan Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan Dalat dibiayai oleh Petronas.
