Seorang pemandu van maut ketika menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap dan van di Kilometer 10, Jalan Kota Samarahan-Asajaya, awal pagi Sabtu (27 Jun).
Mangsa yang berumur 54 tahun sebelum itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bersama seorang lagi pemandu yang cedera parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William, berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila sebuah pikap dipandu wanita berusia 29 tahun dalam perjalanan dari arah Kuching menuju Asajaya dipercayai hilang kawalan.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pikap itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van yang dipandu mangsa dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke HUS untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini (28 Jun).
Sementara itu, pemandu pikap mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang rusuk dan masih menerima rawatan.
Seorang penumpang wanita berusia 67 tahun yang berada di dalam van berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, polis sedang meneruskan siasatan termasuk mengesan saksi bebas, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran serta menghantar kedua-dua kenderaan ke PUSPAKOM dan Jabatan Kimia bagi tujuan pemeriksaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
