PETRONAS terus memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi di Sarawak apabila kejohanan PETRONAS Youth Football Closed Tournament (PYFCT) dan PETRONAS Youth Football Champions League (PYFCL) 2026 dijangka menghimpunkan penyertaan terbesar dalam sejarah penganjurannya dengan kira-kira 4,100 pemain serta pegawai pasukan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu akan diperluaskan ke Mukah sebagai lokasi perintis baharu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda di luar Kuching dan Bintulu untuk menyertai pertandingan berstruktur serta berkualiti.
Beliau berkata, kejohanan tahun ini akan berlangsung di Kuching dari 25 Julai hingga 24 Oktober, Bintulu (1 Ogos hingga 8 November) dan Mukah (26 September hingga 15 November), membabitkan 84 pasukan di Kuching, 56 pasukan di Bintulu serta 24 pasukan di Mukah.

“Pertambahan penyertaan ini mencerminkan keyakinan yang semakin tinggi daripada sekolah, akademi bola sepak, ibu bapa dan masyarakat terhadap kejohanan ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform pembangunan bola sepak belia yang unggul di Sarawak,” katanya pada sidang media PYFCT dan PYFCL 2026 di Kuching, hari ini (8 Julai 2026).
Turut hadir, Presiden FAS Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengurus Besar Petronas Sarawak Puan Norazibah Md Rabu.
Menurutnya, kemuncak kejohanan ialah PYFCL 2026 yang dijadual berlangsung di Kuching dari 6 hingga 13 Disember depan, menghimpunkan pasukan terbaik daripada setiap kejohanan kelayakan untuk merebut gelaran juara keseluruhan.
Abdul Karim berkata, sejak diperkenalkan pada 2024, PYFCT berkembang daripada program perintis kepada antara platform utama pembangunan bola sepak belia di Sarawak, manakala PYFCL yang diperkenalkan tahun lalu pula meningkatkan standard persaingan dengan menghimpunkan pasukan terbaik ke peringkat elit.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan belia melalui sukan, selain menghargai kerjasama rakan strategik termasuk Kuching District Football Association (KDFA), Kuching City FC (KCFC), Sarawak Sports Corporation (SSC), TVS, Bintulu Football Association (BIFA), Mukah Football Association (MUFA), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), UPM Kampus Bintulu dan Lea Sports Centre.
Beliau berkata, selaras dengan agenda pendigitalan, kejohanan itu turut disokong aplikasi mudah alih Easy Tournament yang membolehkan ibu bapa, jurulatih, pemain dan penyokong mengikuti jadual perlawanan, keputusan, kedudukan pasukan serta perkembangan terkini secara masa nyata.