Maxim Malaysia mengumumkan penambahbaikan ciri keselamatan dalam aplikasi, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk memastikan perlindungan pengguna sentiasa menjadi keutamaan. Kemas kini ini memperkenalkan butang SOS yang lebih pantas dan dipercayai, keupayaan pemberitahuan kepada lebih ramai kenalan kecemasan, serta sistem amaran khas untuk rakan-pemandu berhampiran bagi mempercepatkan bantuan ketika kecemasan di jalan raya.
Fungsi utama butang SOS kini diseragamkan untuk kedua-dua penumpang dan rakan-pemandu. Dalam situasi kecemasan, pengguna hanya perlu menekan butang SOS dan memilih tindakan yang paling sesuai, sama ada menghubungi talian kecemasan 999 atau menghantar amaran segera kepada sehingga tiga kenalan kecemasan yang telah didaftarkan lebih awal. Sekiranya pengguna memilih untuk memaklumkan ahli keluarga atau kenalan rapat, mereka akan menerima mesej SMS yang mengandungi lokasi GPS tepat serta pautan penjejakan perjalanan secara langsung. Pemberitahuan ini tetap dapat
dihantar walaupun sambungan internet tidak stabil.
Selain fungsi asas SOS, rakan-pemandu turut menerima akses kepada Sistem Amaran Pemandu (Driver Alert System), iaitu ciri eksklusif yang dibangunkan khusus untuk membantu pemandu dalam situasi kecemasan di jalan raya. Ciri ini diaktifkan melalui butang SOS yang sama dan direka untuk keadaan seperti kerosakan kenderaan, kemalangan, ancaman keselamatan, atau kecemasan perubatan yang memerlukan bantuan segera.
Apabila diaktifkan, sistem akan menghantar pemberitahuan yang mengandungi jenis kecemasan dan lokasi kejadian kepada rakan-pemandu Maxim yang berada dalam lingkungan sehingga tiga kilometer. Rakan-pemandu terdekat boleh memberikan bantuan awal dengan lebih pantas sementara menunggu ketibaan pasukan kecemasan. Bergantung kepada tahap kecemasan, rakan-pemandu juga boleh menggunakan kedua-dua fungsi menghubungi kenalan kecemasan atau talian 999 serta Sistem Amaran Pemandu secara berperingkat bagi memastikan bantuan diperoleh secepat mungkin.
Pengguna mempunyai kebebasan untuk memilih bentuk bantuan yang paling sesuai mengikut situasi yang dihadapi. Bagi meningkatkan tahap keselamatan diri dan orang tersayang, pengguna disarankan untuk mendaftarkan kenalan kecemasan melalui bahagian "Keselamatan" dalam aplikasi Maxim. Proses ini hanya mengambil masa kira-kira seminit, namun boleh menjadi langkah penting yang berpotensi menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.
Menurut Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musli, “Keselamatan sentiasa menjadi aspek penting dalam setiap perjalanan, dan penambahbaikan terbaharu ini menjadikan proses mendapatkan bantuan lebih fleksibel dan pantas. Kini, pengguna bukan sahaja boleh menghantar amaran standard, malah mempunyai pilihan untuk menentukan pihak yang perlu dimaklumkan terlebih dahulu sama ada ahli keluarga, pasukan penyelamat profesional, atau rakan-pemandu Maxim yang berada berdekatan. Semua pilihan ini boleh diakses dalam beberapa saat, dan masa yang dijimatkan untuk mendapatkan bantuan mungkin menjadi faktor yang sangat penting dalam situasi kecemasan.”
Selain sistem SOS yang dipertingkatkan, Maxim turut menawarkan pelbagai ciri keselamatan lain untuk penumpang dan rakan-pemandu, termasuk fungsi sembang dalam aplikasi yang melindungi privasi pengguna daripada penipuan, sistem pemantauan perjalanan dalaman yang merekodkan maklumat penting setiap perjalanan termasuk penjejakan GPS bagi setiap tempahan. Penumpang juga boleh menggunakan ciri Perkongsian Perjalanan (Trip Sharing) yang membolehkan mereka menghantar pautan penjejakan perjalanan secara langsung kepada ahli keluarga atau rakan sebaik sahaja perjalanan
bermula.
Semua data yang dihantar melalui fungsi SOS, Sistem Amaran Pemandu dan Perkongsian Perjalanan disulitkan mengikut piawaian keselamatan moden dan disimpan untuk tempoh yang terhad. Akses kepada maklumat ini hanya diberikan kepada kakitangan keselamatan Maxim yang diberi kuasa serta pihak berkuasa atau petugas kecemasan apabila benar-benar diperlukan dan tertakluk kepada permintaan rasmi daripada pihak penguat kuasa.