Apabila sinaran pertama mentari menembusi celah awan, tanah tinggi Lawas diselubungi lautan kabus yang bergerak perlahan. Lembah-lembah hilang daripada pandangan tanpa sebarang bunyi, manakala banjaran gunung kelihatan seolah-olah terapung di antara bumi dan langit.
Tanah tinggi yang terpencil ini, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari bandar Lawas, merupakan penempatan masyarakat Lun Bawang, komuniti pribumi yang namanya secara harfiah bermaksud “orang tanah”. Penempatan mereka merangkumi kawasan tanah tinggi Lawas termasuk Ba’ Kelalan serta kampung-kampung berhampiran sempadan Sabah dan Kalimantan.
Kehidupan di sini amat berkait rapat dengan alam semula jadi. Masyarakat Lun Bawang terkenal dengan semangat kekitaan yang kukuh, layanan mesra yang sederhana serta kesinambungan warisan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya. Bahasa mereka pula mempunyai alunan yang lembut, seolah-olah dibentuk oleh suasana nyaman tanah tinggi.
Sejak turun-temurun, hubungan erat dengan tanah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
Aktiviti pertanian bukan sekadar rutin harian, malah diwariskan dalam keluarga sebagai sumber rezeki dan khazanah warisan.
Antara hasil utama ialah padi Adan yang ditanam di kawasan seperti Long Sukang, Long Luping dan Long Kerebangan. Padi ini terkenal kerana teksturnya yang halus serta aromanya yang harum.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tanaman kopi Arabika semakin meluas di tanah tinggi tersebut. Para petani secara beransur-ansur beralih kepada penanaman kopi bagi menambah dan mempelbagaikan sumber pendapatan isi rumah, sekali gus menambah dimensi baharu kepada landskap pertanian yang telah lama bertapak.
Dari tanah tinggi inilah lahirnya LINAWA.
Jenama tempatan yang dibangunkan oleh Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad itu menghimpunkan padi Adan dan kopi Arabika di bawah satu jenama, sekali gus mengubah hasil tuaian yang sebelum ini diusahakan secara berasingan kepada rantaian nilai yang lebih tersusun dan dipacu oleh komuniti.
Koperasi berkenaan memainkan peranan penting dalam sistem ini dengan mengumpul dan membeli buah kopi terus daripada petani di kampung-kampung Lun Bawang. Pendekatan ini membantu menyusun pengeluaran serta meningkatkan konsistensi sepanjang rantaian nilai.

Apa yang dahulunya hanya hasil tuaian individu kini bergerak ke arah matlamat bersama, hasil usaha kolektif, kebanggaan komuniti dan peningkatan keupayaan masyarakat.
Perjalanan LINAWA bermula menerusi Program Towards Uplifting Lives (TULiP), iaitu inisiatif impak sosial PETRONAS yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menerusi Institut Smart and Sustainable Living (ISSL). Program ini bertujuan memperkukuh keusahawanan komuniti serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar di Lawas.
Sejak 2021, program itu telah menyokong komuniti menerusi latihan keusahawanan, bimbingan, inovasi produk, pembangunan kapasiti dan akses kepada pasaran.
Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (Aset Sarawak), Shalby Reduan, berkata transformasi yang berlaku mencerminkan kemajuan bermakna yang dibina bersama komuniti.
“Melalui inisiatif TULiP, kami menyaksikan bagaimana usaha berskala kecil berkembang secara berperingkat menjadi rantaian nilai yang lebih tersusun dan mampan. Ia mencerminkan bagaimana komuniti berjaya memperkukuh organisasi mereka serta memperluaskan aktiviti pertanian dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan utama program itu sentiasa diberikan kepada pembangunan kapasiti jangka panjang.
“Objektifnya adalah untuk memastikan komuniti memiliki kemahiran dan keyakinan bagi meneruskan serta mengembangkan inisiatif ini secara berdikari,” katanya.


Sebelum pelaksanaan TULiP, kebanyakan petani berdepan cabaran yang sama iaitu faktor jarak.
Perjalanan jauh merentasi laluan berbukit dan mencabar, kemudahan pemprosesan yang terhad serta akses pasaran yang tidak menyeluruh menyebabkan hasil pertanian dijual pada nilai yang lebih rendah.
Presiden Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad yang juga Ketua Kampung Berayong Tengah, Sulaiman Palong, berkata perubahan yang berlaku kini benar-benar dirasai oleh masyarakat setempat.
“Dahulu, petani terpaksa menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menjual hasil pertanian di bandar. Ia memenatkan dan pulangan yang diterima pula tidak menentu,” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, sebuah kemudahan pemprosesan dibangunkan di Long Sukang bagi membolehkan proses pengumpulan, penyimpanan, pemanggangan dan pembungkusan dilakukan di kawasan tersebut. Langkah itu bukan sahaja meningkatkan kawalan kualiti, malah memastikan lebih banyak nilai ekonomi kekal dalam komuniti tempatan.
Menerusi sistem ini, rangkaian produk LINAWA memberi tumpuan kepada dua hasil utama tanah tinggi, iaitu padi Adan dan kopi Arabika.
Padi Adan ditawarkan dalam tiga varieti iaitu putih, merah dan hitam. Tanaman ini diusahakan menggunakan sumber air semula jadi tanah tinggi yang bersih, sekali gus menyumbang kepada aroma dan teksturnya yang tersendiri. Setiap varieti memiliki keunikan tersendiri yang dipengaruhi oleh jenis tanah, altitud serta pengetahuan tradisional masyarakat setempat.
Antara inovasi utama LINAWA ialah kopi Adan Arabika, iaitu gabungan biji kopi Arabika dengan padi Adan yang menghasilkan minuman bercita rasa unik, selain mengandungi khasiat seperti serat pemakanan dan antioksidan semula jadi.
Apabila jenama itu semakin berkembang, LINAWA mula mendapat pengiktirafan di luar kawasan tanah tinggi apabila meraih Anugerah Cemerlang dan Anugerah Perak pada Malaysia Technology Expo Sustainable Energy and Green Technology International Innovation Awards.

Satu lagi pencapaian penting ialah apabila kedua-dua produk padi Adan dan kopi Arabika LINAWA berjaya memperoleh pensijilan halal. Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukan jenama berkenaan dalam pasaran serta membuka peluang untuk dipasarkan secara lebih meluas, bukan sahaja melalui platform dalam talian, malah di rangkaian pasar raya besar di Sabah dan Sarawak.
Bagi komuniti setempat, pencapaian tersebut membawa makna yang lebih besar daripada sekadar kejayaan komersial. Ia membuktikan bahawa hasil keluaran tanah tinggi mampu memenuhi piawaian moden tanpa mengabaikan nilai tradisi yang menjadi asas pengeluarannya.
Seiring peredaran masa, Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad berkembang menjadi sebuah organisasi yang lebih tersusun dengan keanggotaan seramai 30 orang yang bekerjasama menyokong para petani serta menguruskan jenama LINAWA.
Data terkini Jabatan Pertanian Daerah Lawas menunjukkan sehingga tahun 2026, seramai 94 petani di Long Sukang mengusahakan lebih 28 hektar kawasan pertanian, dengan penanaman kopi mencatat peningkatan yang ketara sejak program TULiP diperkenalkan.

“Berbanding sebelum tahun 2021, jumlah pokok kopi yang ditanam meningkat sepuluh kali ganda. Dahulu hanya terdapat kira-kira 700 pokok kopi di kawasan ini, namun tahun ini bilangannya meningkat kepada 7,230 pokok,” kata Shalby.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh sumber pendapatan masyarakat setempat serta memajukan pembangunan komuniti di kawasan tanah tinggi.
“Ia juga membuktikan komitmen PETRONAS dalam menyokong masyarakat luar bandar menerusi peluang ekonomi yang mampan, selain memperkukuh kemahiran dan keupayaan komuniti tempatan,” katanya.
Sementara itu, Sulaiman berkata projek TULiP membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.
“Projek TULiP membawa banyak manfaat kepada komuniti. Kami amat menghargai sokongan PETRONAS kerana semakin ramai petani kini menceburi penanaman kopi apabila melihat potensi masa depannya. Kami juga berterima kasih atas bimbingan yang diberikan sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Selepas lima tahun dibangunkan, jenama LINAWA kini secara rasminya diserahkan kepada Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad.
Peralihan itu menandakan kemuncak kepada kerjasama yang dibina secara berperingkat melalui latihan, percubaan, perkongsian ilmu serta penglibatan rapat bersama komuniti.
Hari ini, LINAWA menjadi cerminan kepada keseluruhan proses tersebut.
Ia bukan sekadar sebuah jenama yang lahir daripada hasil pertanian, malah dibentuk oleh masyarakat yang sanggup belajar, menyesuaikan diri dan membina sesuatu secara bersama selama bertahun-tahun.
Bagi PETRONAS, perjalanan ini mencerminkan komitmen jangka panjang untuk terus bersama komuniti sehingga mereka benar-benar bersedia untuk berdikari.
Kini, apabila LINAWA berada di bawah pengurusan sepenuhnya Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad, PETRONAS menutup lembaran kerjasama ini dengan penuh rasa syukur dan kepuasan.
Ia bukanlah pengakhiran yang diselubungi kehilangan, sebaliknya satu penyerahan tanggungjawab yang berlaku secara semula jadi, ibarat kabus yang perlahan-lahan berarak meninggalkan lembah ketika fajar menyingsing, memperlihatkan tanah tinggi yang teguh, berdikari dan terus lestari di sebalik awan.

