KUCHING, 26 Ogos – PETRONAS memperuntukkan kira-kira RM28 juta bagi menaja lebih 100 anak muda Sarawak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi terkemuka dalam dan luar negara tahun ini.
Pengurus Besar Kanan, Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Pn. Akmal Niza Ahmad, berkata pelaburan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam membangunkan modal insan serta melahirkan bakat masa depan negara.
Beliau berkata, penerima Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu itu akan melanjutkan pengajian di institusi dalam negara, termasuk Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), selain universiti di luar negara.
“Setiap pelaburan dalam ilmu pengetahuan adalah pelaburan strategik untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menurutnya, kejayaan penerima tajaan itu bukan sahaja hasil usaha gigih dan ketabahan mereka, malah turut didorong sokongan keluarga, pendidik dan komuniti.
Dalam pada itu, PETRONAS turut memperluas usaha memperkukuh pendidikan STEM di Sarawak menerusi pelbagai inisiatif bersama kerajaan negeri.
Akmal Niza berkata, menerusi program Discover PETRONAS @ Schools, lebih 350 pelajar di daerah Subis dan Simunjan menerima manfaat tahun ini.
Katanya, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak pula menyaksikan inisiatif pengagihan 60 Mobile STEM Kit ke semua 30 daerah di negeri ini yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 1,030 sekolah dan lebih 157,000 pelajar.
“Sejak penubuhan Yayasan PETRONAS pada 2019, lebih 300 pendidik di Sarawak turut mendapat manfaat daripada program pembangunan profesional kami, disokong STEM Hub di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Miri.
“Yayasan PETRONAS juga mengambil 10 sekolah di Sarawak sebagai sekolah angkat dengan menyediakan sokongan termasuk pembiayaan Duta Guru, Pusat Inovasi Pelajar serta penambahbaikan makmal sains mengikut keperluan sekolah,” katanya.
Selain laluan akademik, beliau berkata PETRONAS turut memberi tumpuan kepada pendidikan teknikal dan vokasional menerusi program Vocational Institution Sponsorship and Training Assistance (VISTA).
Katanya, kerjasama dengan sembilan institusi TVET di Sarawak menerusi program itu berjaya melahirkan lebih 2,000 pelatih dengan jumlah pelaburan melebihi RM8.5 juta.
“Program ini kini diperkasakan sebagai VISTA i-plus, dengan perancangan untuk diperluaskan ke Sarawak dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penerima tajaan supaya melihat peluang yang diterima bukan sekadar ganjaran, sebaliknya amanah untuk membuktikan kecemerlangan menerusi ilmu dan integriti.
“Tajaan ini adalah kepercayaan yang diletakkan di bahu anda. Bawalah bersama kebanggaan keluarga dan kepercayaan masyarakat,” katanya.