SACOFA, Imasa teroka pembangunan infrastruktur digital Kenyalang Smart City

SACOFA Sdn Bhd dan Imasa Dinasti Sdn Bhd meneroka kerjasama strategik bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi dan kesalinghubungan digital untuk Kenyalang Smart City, Miri.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang menyediakan kerangka kerjasama jangka panjang bagi menyokong pembangunan infrastruktur kesalinghubungan berkapasiti tinggi, berdaya tahan dan bersedia untuk keperluan masa depan.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan meneroka penyelesaian termasuk rangkaian gentian optik berkapasiti tinggi, infrastruktur dan liputan 5G, seni bina gentian hujung ke hujung, kesalinghubungan perusahaan serta keupayaan Internet benda (IoT).

Kerjasama itu turut merangkumi rangkaian sokongan dan pemulihan bencana, selain keperluan kesalinghubungan khusus bagi komponen utama pembangunan berkenaan termasuk hospital perubatan dan pengajaran, pusat konvensyen serta sistem pengurusan bandar pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA, Jafer Sadig Abdul Lathiff, berkata kesalinghubungan yang boleh dipercayai dan bersedia untuk keperluan masa depan adalah asas penting dalam pembangunan komuniti lebih pintar dan berhubung.

“Menerusi kerjasama dengan Imasa ini, kami berharap dapat meneroka keupayaan infrastruktur telekomunikasi dan kesalinghubungan SACOFA yang boleh menyokong visi Kenyalang Smart City serta keperluan digital jangka panjangnya,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Imasa Dinasti, Ar. Teo Ah Khing, berkata kesalinghubungan adalah asas kepada pembangunan Kenyalang Smart City dan bukan sekadar elemen tambahan dalam pembangunan bandar.

Beliau berkata setiap katil hospital, bilik darjah, kediaman dan premis perniagaan dalam pembangunan itu memerlukan infrastruktur yang pantas, berdaya tahan dan dibina untuk keperluan jangka panjang.

Sebagai sebahagian daripada MoU itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknikal bagi menilai keperluan kesalinghubungan serta Internet benda pembangunan berkenaan.

Kajian itu akan menyokong penyediaan pelan pelaksanaan secara berperingkat yang diselaraskan dengan pelan induk dan jadual pembangunan Kenyalang Smart City.

Kenyalang Smart City merupakan pembangunan bandar bersepadu di utara Miri yang meliputi kawasan seluas 548 ekar, dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan RM10.5 bilion dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.