Projek infrastruktur moden seperti Lebuhraya Pan Borneo, Autonomous Rapid Transit (ART) dan Air Borneo akan mengubah wajah mobiliti rakyat.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembangunan jalan raya yang efisien serta pembinaan jambatan baharu akan memudahkan perhubungan antara bandar dan kawasan pedalaman.
“Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan pengangkutan sungai turut dinaik taraf untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk setempat,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia 2025.
Beliau berkata, ART dan Air Borneo akan menjadi pemangkin baharu kepada sistem pengangkutan moden di negeri ini.
Katanya, dengan adanya projek itu, perhubungan dan komunikasi rakyat Sarawak lebih lengkap.
“Ini selaras dengan usaha kerajaan menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Selain itu, akses internet dan jalur lebar turut diperluaskan, terutama di kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan, usaha ini membantu merapatkan jurang digital dan memacu ekonomi digital.