Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian netizen apabila menunjukkan bakat menebar roti canai ketika bercuti dua hari bersama isterinya di Sibu pada Isnin (15 September 2025).
Beliau berkongsi pengalaman itu menerusi hantaran video di Facebook beliau selepas singgah makan malam di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu.
Menurutnya, beliau mengambil alih seketika tugas tukang roti selepas melihat cara penyediaan roti canai.
“Tebar tujuh biji roti canai untuk kami makan….sekali sekala kena asah bakat juga…dah nak pencen ni,” katanya berseloroh dalam hantaran tersebut.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat beliau selain memuji sikap mesra serta bersahaja.
Setakat jam 11 pagi (Selasa), video berdurasi dua minit 13 saat itu sudah ditonton lebih 72,000 pengguna Facebook dengan lebih 8,000 tanda suka bersama lebih 1,000 komen.