Seorang lelaki warga emas pada Ahad (14 Sept 2025) hilang selepas bot yang dinaiki bersama menantunya karam di Sungai berdekatan Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Banggau Anak Ngilas, 71, dilaporkan hilang dibawa arus, manakala menantunya, Roys Anak Misen, 36, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari ladang sawit dengan membawa muatan buah sawit sebelum bot yang dinaiki melanggar batang kayu di tengah sungai lalu karam.
“Seorang mangsa terselamat dengan berenang ke tebing, manakala seorang lagi dipercayai hanyut dibawa arus,” jelas kenyataan itu.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai PPgB Andrew Vengitasamy bersama tiga anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.
Operasi pencarian dilaksanakan menggunakan kaedah Surface Searching meliputi tiga kilometer ke hulu sungai dengan tiga bot penyelamat, manakala pencarian di tebing dilakukan dalam radius tiga kilometer bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung.
Bagaimanapun, operasi dihentikan pada jam 6 petang tadi dan akan disambung semula esok pada Isnin (15 Sept).