Hari Malaysia 2025: Yang di-Pertua Negeri Sarawak ingatkan rakyat pentingnya perpaduan

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tanggal 16 September 1963, adalah hari yang penuh makna dan sejarah buat kita semua.

Ia merupakan hari penyatuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura untuk membentuk sebuah negara yang kita cintai, Malaysia.

“Peristiwa bersejarah ini mengingatkan kita akan kekuatan yang lahir daripada perpaduan, satu prinsip yang terus menjadi tunjang utama negara kita sehingga ke hari ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2025.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Pembentukan ini adalah hasil daripada perjanjian yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 dan ia menandakan berakhirnya penjajahan British di Sabah, Sarawak, dan Singapura.

“Sambutan Hari Malaysia pada 16 September mengingatkan rakyat tentang pentingnya perpaduan dan sumbangan pelbagai kaum terhadap pembinaan negara.,” jelasnya.

“Walaupun Singapura tidak lagi bersama kita, semangat perpaduan dan rasa hormat antara satu sama lain masih terus membara dalam diri setiap rakyat,” katanya lagi.

Beliau menzahirkan rasa bangga melihat semangat perpaduan dan toleransi yang terus utuh dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Walaupun Sarawak mempunyai lebih daripada 70 suku kaum etnik, kepelbagaian agama dan budaya bukanlah satu halangan, sebaliknya ia adalah kekuatan yang menjadikan Sarawak unik dan istimewa.

Mengimbas kembali perjalanan dalam pembentukan Malaysia, beliau berkata pada 9 Julai 1963, seramai 23 wakil-wakil Kerajaan Negara Britain, Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak berjumpa di London untuk menandatangani secara rasminya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Negara Britain diketuai oleh Perdana Menteri, Harold Macmillan dan empat orang wakil, Malaya oleh enam diketuai Tunku Abdul Rahman, Singapura oleh Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan Menteri Kewangan Singapura Goh Keng Swee, Sabah oleh enam wakil dan Sarawak, empat.

“Empat orang anak-anak Sarawak yang terlibat ketika itu adalah Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Shapiee, Temenggong Tun Jugah anak Barieng, Tan Sri Ling Beng Siew dan Datuk Abang Mustapha Abang Moasli yang pergi ke London untuk menandatangan dokumen bersejarah itu.

“Maka kita amat berterima kasih dan bersyukur ke atas pandangan jauh empat orang pemimpin kita itu yang membuka ruang dan menyediakan satu landasan yang kukuh untuk masa depan Sarawak,” katanya.

Ekoran peristiwa bersejarah itu, maka lahirlah sebuah negara, iaitu Negara Malaysia pada 16 September 1963, hasil gabungan Tanah Persekutuan Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Singapura kemudian menarik diri daripada gabungan tersebut pada 9 Ogos 1965.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *