Jeritan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjadi detik terakhir sebelum dia hilang disambar buaya ketika menjala di sungai Kampung Empila, Samarahan pada pagi Khamis (18 Sept 2025).
Mangsa, Arif Fahmi Aiman Mohd Tinggal, ditemui pasukan SAR Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meninggal dunia dengan kesan kecederaan gigitan pada bahagian badan dan dada.
Menurut JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian sekitar jam 7.53 pagi.
“Maklumat daripada pemanggil yang juga saksi kejadian, kanak-kanak tersebut sedang menebar jala dari atas perahu anggaran lebih kurang 10 meter dari bot pemancing yang juga saksi kejadian.
“Ketika kejadian saksi mendengar mangsa menjerit dan bila beliau melihat ke lokasi suara tersebut mendapati mangsa telah hilang dari pandangan.
“Saksi terus ke lokasi mangsa hilang dan membuat pencarian awal sebelum menghubungi talian kecemasan untuk maklum perihal kejadian,” kata JBPM Sarawak dalam kenyataan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan yang tiba di lokasi pada jam 8.11 pagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Hasil pencarian, mangsa ditemui pada jam 9.50 pagi kira-kira 10 meter dari lokasi terakhir dilihat.
Mangsa kemudian dibawa ke jeti Kampung Niup sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.