SFC ingatkan orang ramai waspada kemunculan buaya musim hujan

Sarawak Forestry Corporation (SFC) menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada susulan cuaca hujan berterusan yang boleh meningkatkan risiko kemunculan buaya di kawasan sungai dan parit.

Menurut SFC dalam hantaran di Facebook rasminya pada Khamis (18 Sept), paras air yang semakin meningkat akibat hujan lebat bukan sahaja mengundang banjir, malah berpotensi menyebabkan haiwan liar termasuk buaya menghampiri kawasan berpenghuni.

“Orang ramai diingatkan agar tidak melalui atau bermain di kawasan parit besar perumahan serta tepi sungai ketika hujan lebat atau banjir kerana dikhuatiri berlaku kemunculan buaya.

“Sentiasa peka dengan maklumat terkini berkaitan kemunculan buaya dan elakkan aktiviti santai berhampiran sungai atau parit ketika musim tengkujuh,” katanya.

SFC turut menasihatkan pemilik haiwan peliharaan supaya memastikan haiwan mereka tidak berkeliaran, selain menyimpan nombor-nombor kecemasan dalam telefon bagi memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Jagalah keselamatan diri, keluarga dan haiwan peliharaan sepanjang musim hujan ini,” jelas kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *