Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025 bakal dilancarkan dengan penuh gemilang di Kuching Waterfront dengan perasmian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kemuncak festival akan menyaksikan pelancaran pencahayaan ikonik di tiga lokasi utama, iaitu Bangunan Ibu Pejabat DBKU Bukit Siol, Kuching Waterfront dan E-Penambang.
Pencahayaan baharu itu dijangka menjadi mercu tanda yang menyerikan panorama malam Bandaraya Kuching, sekali gus menghidupkan suasana lebih indah dan eksklusif.
Festival turut disemarakkan dengan pameran floral yang menampilkan kreativiti seni hiasan flora, gabungan cahaya dan flora yang diyakini memberi pengalaman visual unik kepada pengunjung.
Ia sekali gus mengangkat Kuching sebagai destinasi pelancongan berkelas dunia dengan tarikan baharu berasaskan kreativiti dan estetika.
Menurut DBKU, festival ini bertujuan memperkukuh imej Bandaraya Kuching sebagai bandar indah, kreatif dan berdaya huni, selaras aspirasi DBKU membina komuniti harmoni serta meningkatkan daya tarikan pelancongan.
Festival yang terbuka kepada orang ramai itu akan mencapai kemuncaknya dengan persembahan bunga api pada 5 Oktober ini, jam 10 malam di Kuching Waterfront.