Pelaksanaan SKPS dan BUDI95 di Sarawak bermula lancar dengan pemantauan KPDN

Hari pertama pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan BUDI95 di Sarawak berjalan lancar dengan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, pihaknya menjalankan walkabout di beberapa stesen minyak terpilih di Kuching hari ini bagi memastikan perjalanan sistem berkenaan tidak menghadapi sebarang masalah.

Menurutnya, pemeriksaan itu juga bertujuan memastikan pengusaha stesen minyak mematuhi garis panduan selain membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada pengguna.

“Hasil pemeriksaan mendapati stesen minyak memberikan kerjasama baik dan sistem transaksi SKPS serta BUDI95 berfungsi dengan lancar.

“KPDN akan terus memantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan program ini kekal teratur,” katanya dipetik menerusi hantaran laman sosial rasmi KPDN Sarawak pada Selasa.

Matthew menjelaskan SKPS diwujudkan bagi menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada syarikat berdaftar, manakala BUDI95 pula membolehkan orang awam yang layak menerima bantuan subsidi menggunakan MyKad.

Inisiatif itu selaras dengan hasrat kerajaan memastikan subsidi petrol lebih bersasar, sekali gus mengelakkan ketirisan dan memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat sepenuhnya.

Selain pemeriksaan terhadap sistem, katanya, pihak KPDN turut mendapatkan maklum balas daripada pengguna dan pengusaha stesen minyak bagi menambah baik pelaksanaan program berkenaan.

“Maklum balas awal yang diterima menunjukkan orang ramai tiada masalah menggunakan sistem ini, malah pengusaha stesen minyak turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak kementerian,” katanya.

Matthew menegaskan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan SKPS dan BUDI95 kekal lancar serta memberi manfaat kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *