Tiga lokasi ikonik bandar raya Kuching dihiasi pencahayaan baharu

Sistem pencahayaan baharu di tiga lokasi utama — Bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Bukit Siol, Kuching Waterfront dan E-Penambang — kini menjadi mercu tanda baharu yang menyerikan panorama malam bandar raya Kuching, mencerminkan keindahan dan identiti unik ibu negeri Sarawak itu.

Sistem pencahayaan ikonik tersebut dilancarkan sempena Kuching Heritage Lights and Floral Festival 2025 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, di Kuching Waterfront pada malam Ahad (5 Sept).

Pertunjukan bunga api turut mewarnai langit malam, menambah kemeriahan sambutan yang disertai ribuan warga kota yang hadir menikmati suasana penuh warna-warni di tebing Sungai Sarawak.

Menurut Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), inisiatif pencahayaan baharu itu bukan sekadar memperindah wajah bandar raya pada waktu malam, malah memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya pintar, berbudaya dan mesra pelancong.

Selain tiga lokasi utama itu, pencahayaan hiasan turut diperluaskan ke beberapa kawasan strategik seperti median dan landskap di Jalan serta Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub, Jejantas Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, sekitar Tugu Pahlawan, Padang Merdeka, Old Courthouse, Jambatan Gantung Satok, Jejantas Satok, Panggung Udara dan kawasan sekitar Pustaka Negeri Sarawak.

“Usaha bersepadu ini memberi impak besar dalam memperindah wajah bandar raya Kuching, sekali gus mengukuhkan identiti uniknya di mata pelancong,” menurut kenyataan DBKU.

Festival ini turut diserikan dengan Floral Festival yang menampilkan kreativiti serta keindahan seni hiasan flora hasil sentuhan tangan-tangan berbakat tempatan.

Gabungan elemen cahaya dan flora itu dijangka memberikan pengalaman visual yang memukau kepada para pengunjung, sekaligus mengangkat Kuching sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Penganjuran festival ini bertujuan memperkukuh imej Bandaraya Kuching sebagai bandar raya indah, kreatif dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi DBKU untuk membina komuniti harmoni serta meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya,” jelas kenyataan itu lagi.