Program ImmiRun 2025 – Sarawak Chapter anjuran Jabatan Imigresen Negeri Sarawak telah berlangsung hari ini (19 Okt) dengan meriah di Padang Merdeka, Kuching, dengan penyertaan lebih 1,400 peserta terdiri dari pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik serta masyarakat setempat.
Acara larian ini telah disempurnakan dengan upacara flag-off oleh Yang Berbahagia Dato Haji Hilmy Bin Haji Othman, Datuk Bandar Kuching Utara dan Tuan Haji Abdul Halim Bin Abang Naili, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak.
Penganjuran ImmiRun 2025 Sarawak Chapter turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi dan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), bersempena dengan Sambutan Hari Sukan Negara 2025.
Program ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan, mempererat hubungan silaturahim antara warga jabatan dan komuniti setempat, serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, penganjuran ImmiRun merupakan satu program yang julung kali dianjurkan oleh jabatan ini.
Program ini bukan sahaja menggalakkan kecergasan fizikal, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan baik antara jabatan dan masyarakat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penaja, dan pihak yang telah menjayakan acara tersebut.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang program, termasuk sesi senamrobik, pameran kesihatan, serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik untuk para peserta.
ImmiRun 2025 – Sarawak Chapter berjaya menyerlahkan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia dalam memupuk semangat kesukanan dan perpaduan, selaras dengan tema “Run for Unity, Run with Spirit.”
