Rumah Panjang Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak, Kuching yang musnah dalam kebakaran pada 12 Okt 2025 akan dibina semula secepat mungkin memandangkan struktur ikonik itu merupakan antara produk pelancongan utama Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya bersedia memberikan sokongan penuh kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi mempercepatkan proses pembinaan semula, termasuk dari segi mendapatkan kelulusan Kabinet serta peruntukan yang diperlukan.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan ke tapak kebakaran di Kampung Budaya Sarawak pada Sabtu (18 Okt).

“Saya amat dukacita dengan kejadian ini kerana Rumah Panjang Bidayuh bukan sekadar struktur fizikal, tetapi simbol warisan dan identiti masyarakat Bidayuh serta aset penting industri pelancongan negeri,” katanya.
Menurutnya lagi, proses pembinaan semula dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lebih setahun, justeru adalah mustahil untuk ia disiapkan sebelum penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) 2026.
“Walaupun kita mahu segera memulihkan struktur ini, realitinya proses pembinaan rumah panjang tradisional memerlukan masa yang panjang bagi memastikan ia dibangunkan mengikut aspek budaya dan seni bina asal,” ujarnya.
