Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) pada Ahad (19 Okt 2025) memaklumkan satu lagi kes baharu rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di negeri ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada lima kes bagi tahun 2025.
Kes terbaharu melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Daerah Sebauh, Bintulu.
“Pada 8 Oktober 2025, pesakit mula mengalami gejala sakit di bahagian dada dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 10 Oktober 2025.
“Beliau mengalami hydrophobia, aphasia, hypersalivation dan kesukaran menelan semasa berada di wad hospital dan telah disahkan meninggal pada 12 Oktober 2025,” kata JKNS dalam kenyataan.
Siasatan mendapati mangsa mempunyai sejarah digigit anak anjing terbiar ketika cuba mengendalikan haiwan berkenaan yang cedera akibat digigit anjing lain di kawasan stor ladang pada 17 September.
Beberapa hari kemudian, dia turut mengendalikan bangkai anak anjing tersebut yang mati, namun tidak mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan bagi luka gigitan itu.
Empat dari jumlah lima kes rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Sarawak pada tahun 2025 tidak mendapatkan rawatan setelah digigit oleh anjing/kucing yang berisiko jangkitan rabies.
JKNS mengingatkan orang ramai bahawa penyakit rabies boleh menular melalui gigitan atau cakaran, serta pendedahan kepada air liur haiwan mamalia yang dijangkiti rabies, terutamanya haiwan, segera cuci luka gigitan/cakaran atau bahagian tubuh/mukosa yang terdedah kepada air liur haiwan (termasuk haiwan peliharaan sendiri) di bawah air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit, kemudian dapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.
Jangan mengendalikan bangkai haiwan terbiar atau peliharaan sendiri yang mati dengan punca kematian tidak diketahui.
Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.
JKNS menasihatkan pemilik haiwan agar bertanggungjawab dengan memastikan semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi antirabies lengkap setiap tahun, dan jangan membiarkan haiwan peliharaan berkeliaraan tanpa pengawasan.
Rabies boleh dicegah sekiranya rawatan Post-exposure Prophylaxis (PEP) diberikan sewajarnya dan sejurus selepas kejadian gigitan.
“Orang ramai diseru agar memainkan peranan masing-masing bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan rabies dapat dilaksanakan dengan berkesan demi memelihara nyawa sendiri serta keluarga tersayang,” kata JKNS.
