Rumah panjang di Selangau terbakar, tiga pintu terbakar 100 peratus

Tiga daripada lima pintu Rh Lampong, Ulu Sikat, Selangau musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam Khamis.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.07 malam (23 Okt) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau digerakkan ke lokasi, sejauh kira-kira 23 kilometer.

Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman diketuai oleh Ketua BBP Selangau, PBK II Jaree Mohamad, dengan kekuatan tujuh anggota serta sebuah jentera FRT.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumah panjang lima pintu. Bilik tiga dan empat terbakar 100 peratus, bilik lima 90 peratus, manakala bilik satu dan dua terbakar 100 peratus di bahagian dapur sahaja.

“Pasukan bomba bertindak memadam api menggunakan dua aliran 200 kaki dan dua nozel dengan sumber air dari pili bomba berdekatan,” katanya.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 11.50 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 2.27 pagi tadi selepas kerja-kerja overhaul dijalankan.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, dan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *