AirAsia memperkukuh komitmen terhadap Sarawak dengan menjadi rakan penerbangan rasmi dan rakan e-hailing rasmi bagi acara Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang akan berlangsung pada 25 Oktober ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Acara tahunan anjuran Sarawak Volunteers dengan sokongan Kerajaan Sarawak serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof itu dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, AirAsia menawarkan promosi eksklusif tambang penerbangan dan bagasi kepada pengunjung yang membuat tempahan semasa acara, termasuk diskaun 20 peratus bagi penerbangan dan 50 peratus untuk bagasi berdaftar.

Selain itu, pelajar dari Sarawak boleh menyemak dan menebus subsidi perjalanan FLYsiswa di tapak acara bagi memudahkan perjalanan mereka pulang ke kampung halaman semasa cuti atau menghadiri urusan keluarga.
Perjalanan ke MITEC turut dipermudahkan melalui tawaran tambang istimewa AirAsia Ride. Pengunjung yang berlepas dari KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2 atau Lapangan Terbang Subang boleh menikmati diskaun promosi dengan menggunakan kod ‘LBAS2KLIA’, manakala pengguna dari kawasan lain di Lembah Klang boleh menggunakan kod ‘RIDELBA3’ untuk penjimatan tambahan.

Syarikat insurans Tune Protect juga akan mengambil bahagian dengan pameran interaktif yang menampilkan penyelesaian perlindungan perjalanan untuk para tetamu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra, berkata Lan Berambeh Anak Sarawak merupakan acara bermakna yang menyatukan rakyat Sarawak dari pelbagai latar belakang.
“Lan Berambeh Anak Sarawak mempunyai makna istimewa bagi kami kerana ia meraikan identiti, hubungan dan komuniti. Sarawak sentiasa menjadi sebahagian penting rangkaian domestik kami dan Kuching kekal sebagai salah satu hab terbesar AirAsia di Malaysia.
“Ramai kakitangan kami berasal dari Sarawak dan kami berbangga dapat terus menyokong negeri ini melalui sambungan penerbangan yang mampu milik dan mudah diakses,” katanya.
Beliau menambah, selama lebih dua dekad AirAsia berperanan sebagai penghubung keluarga, pelajar dan komuniti, selain menghargai hubungan erat yang terjalin dengan Sarawak.
LBAS merupakan acara kebudayaan dan kemasyarakatan berprestij bagi rakyat Sarawak di luar negeri, khususnya di Semenanjung Malaysia, sebelum berkembang ke peringkat antarabangsa. Ia menjadi platform bagi mengeratkan hubungan dengan warisan, memupuk perpaduan serta meraikan budaya melalui sesi dialog, pameran dan persembahan kebudayaan.