Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), salah sebuah bangunan ikonik yang menjadi mercu tanda kebanggaan bandar raya Kuching, kini tampil lebih mempesona dengan pemasangan sistem pencahayaan hiasan RGBW serta pancaran RGB Laser Beam yang menyerlahkan keseluruhan fasad bangunan.
Majlis pencahayaan bangunan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Ruang udara di sekitarnya turut disemarakkan dengan cahaya berwarna-warni yang mewujudkan suasana meriah dan menawan.
Gabungan teknologi pencahayaan moden ini bukan sahaja menonjolkan keunikan seni bina pejabat DBKU pada waktu malam, malah menjadikannya pusat tumpuan baharu yang memikat pandangan warga kota serta para pengunjung.
Bangunan DBKU telah beroperasi di Bukit Siol selama 32 tahun, terus menjadi simbol kebanggaan dan identiti bandar raya Kuching.
Usaha ini sejajar dengan aspirasi DBKU untuk memperindah landskap bandar raya melalui pendekatan berasaskan inovasi, teknologi dan kelestarian.
Inisiatif pencahayaan ini juga menyokong visi Kuching Smart City, ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang lebih ceria, inklusif dan dinamik untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.