Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus mengekalkan kedudukannya sebagai pelabuhan utama Sarawak tahun ini apabila mencatatkan jumlah pengendalian kargo sebanyak 38.3 juta tan metrik setakat September 2025, melibatkan 5,649 kapal, demikian menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Menurut UKAS, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato’ Roslan Abdul Ghani, berkata walaupun berdepan cabaran termasuk kerja penyelenggaraan gas asli cecair (LNG) dan gangguan cuaca, Bintulu Port kekal beroperasi dengan daya tahan tinggi dan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Masa pusing ganti kapal kami kekal sangat kompetitif, disokong oleh kadar ketersediaan peralatan hampir 90 peratus, mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kecemerlangan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bintulu Port Customer Centric Nite 2025 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, di Kuching pada Selasa.
Dato’ Roslan turut memaklumkan bahawa pelabuhan itu kini dalam proses melaksanakan Sistem Operasi Pelabuhan berteknologi tinggi, iaitu antara sistem tercanggih di dunia yang turut digunakan di Pelabuhan Yangshan Fasa 4, Shanghai, China.
Beliau menjelaskan, Bintulu Port secara konsisten mengendalikan lebih 80 peratus daripada jumlah import dan eksport Sarawak setiap tahun, menjadikannya pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dan penghubung penting ke pasaran antarabangsa.
“Selaras dengan peralihan landskap tenaga global ke arah kelestarian, kami bersedia memainkan peranan utama dalam sektor baharu seperti hidrogen hijau dan logistik tenaga boleh diperbaharui.
“Inilah bidang pertumbuhan baharu dan Bintulu Port bersedia sepenuhnya untuk mendukungnya,” katanya.
