Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) terus memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan apabila merekodkan kejayaan bernilai RM385.6 juta sejak Januari hingga 11 November tahun ini.
Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner, Lim Bak Phai berkata, kejayaan itu hasil 535 kes yang berjaya dipatahkan menerusi pelbagai operasi di seluruh negeri, melibatkan 643 tangkapan dan 327 kenderaan pelbagai jenis yang dirampas.
Dalam kenyataan pada Rabu (12 Nov) beliau memaklumkan bagi tempoh 27 Oktober hingga 11 November sahaja, Briged Sarawak PGA melaksanakan tujuh siri operasi dengan nilai rampasan keseluruhan RM3.7 juta membabitkan pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras, mercun, tong gas, beras dan kenderaan.
Antara operasi terbesar direkodkan menerusi Op Taring Alpha pada 7 November, apabila 18 suspek ditahan di 18 lokasi seluruh Sarawak dengan rampasan bernilai RM1.86 juta.
Kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang antaranya Akta Kastam 1967, Akta Bahan Letupan 1957, Ordinan Pengagihan Gas 2016 dan Veterinary Public Health Ordinance 1999.
