BERMULA daripada usaha mencari sumber pendapatan baharu untuk masyarakat di pedalaman Long Sukang, jenama Linawa kini berkembang sebagai simbol aspirasi komuniti Lun Bawang untuk membina masa depan yang lebih baik menerusi penanaman kopi dan pengeluaran beras adan.
Ahli Koperasi Linawa, Lionel Labo Baru berkata pengkomersilan kopi dan beras adan adalah inisiatif di bawah Program TULiP (Towards Uplifting Lives) oleh Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Petronas, Pertubuhan Peduli Insan dan komuniti setempat.
Menurutnya, kajian tersebut mendapati kopi dan beras merupakan antara sumber utama yang mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai produk komuniti.
“Dari situ tercetus idea untuk menghasilkan produk beras dan kopi kerana kedua-duanya merupakan sumber yang ada di kawasan kami,” katanya.
Usaha itu kemudiannya mendapat sambutan daripada penduduk setempat termasuk petani yang melihat kopi sebagai tanaman berpotensi untuk menjana pendapatan tambahan.
Pekebun kopi Philip Udan, yang mula menanam kopi pada 2024, berkata minatnya terhadap tanaman itu bermula selepas diperkenalkan oleh seorang rakan dari Miri.
Kini beliau memiliki kira-kira 1,600 pokok kopi yang diusahakan di kawasan Long Sukang.
“Saya bekerja dengan Linawa untuk menambah pendapatan. Di seluruh kawasan Long Sukang, ramai yang terlibat dengan Linawa untuk menambah kewangan keluarga,” katanya.
Bagi seorang lagi penanam kopi, Jeffery Tandem dari Long Berangan, kopi bukan sahaja mudah diusahakan malah berpotensi menjadi sumber pendapatan jangka panjang kepada komuniti luar bandar.
“Setelah kopi masak, ia dihantar ke Linawa di Long Sukang untuk diproses menjadi serbuk kopi. Orang kampung dapat mengusahakan penanaman kopi dan menjana pendapatan,” katanya.
Di pusat pemprosesan Linawa, hasil tuaian yang diterima daripada petani akan melalui proses pemilihan dan kawalan kualiti sebelum diproses dan dibungkus untuk dipasarkan.
Leonard berkata, setiap bahan mentah akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan hanya produk berkualiti tinggi diterima.
“Yang berkualiti akan diproses melalui proses roasting dan pembungkusan sebelum dihantar ke pasaran. Semua proses dikawal dengan rapi bagi memastikan produk yang sampai kepada pengguna memenuhi standard yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Lionel, kopi arabica yang ditanam di tanah tinggi Lawas pula mempunyai rasa dan aroma yang berbeza berbanding kebanyakan kopi lain di pasaran.
Selain kopi, Linawa turut mengeluarkan beras adan yang terkenal dengan aroma dan teksturnya yang tersendiri.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti, Koperasi Linawa turut menerima sokongan dari segi latihan, pemindahan pengetahuan serta penambahbaikan kemudahan pemprosesan bagi membantu petani meningkatkan kualiti pengeluaran dan pemasaran produk.
Pengerusi Koperasi Usahasama Long Sukang, Sulaiman Palong berkata, projek tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan penduduk, malah membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda di kawasan pedalaman.
“Golongan muda tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan kerana peluang sudah ada di sini. Projek ini memberi harapan dan hala tuju baharu kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata, produk Linawa kini dipasarkan di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia, manakala sijil halal yang diperoleh membuka ruang kepada usaha memperluaskan pasaran pada masa hadapan.
Menurutnya, visi utama koperasi adalah untuk melihat komuniti Lun Bawang keluar daripada kepompong kemiskinan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi penglibatan aktif dalam penanaman kopi dan pengeluaran beras adan.
“Kita mahu apabila orang menyebut Linawa, mereka tahu ia datang dari Lawas, dari tanah tinggi dan daripada komuniti Lun Bawang.
“Kita berharap satu hari nanti produk ini dapat menembusi pasaran antarabangsa dan menjadi kebanggaan komuniti serta rakyat Sarawak,” katanya.
Produk kopi dan beras adan keluaran Linawa boleh dibeli secara dalam talian menerusi https://linawa.com.my/shop-now/
