Indeks jenayah Kuching turun 25.44 peratus

Indeks jenayah di daerah Kuching merekodkan penurunan ketara 25.44 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2025 kepada 548 kes berbanding 735 kes dalam tempoh sama 2024.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata jenayah kekerasan turun sedikit 1.43 peratus (69 kes berbanding 70), manakala jenayah harta benda menurun lebih banyak 27.97 peratus (479 berbanding 665 kes).

Beliau berkata antara kes yang menyumbang kepada tren menurun ialah curi motosikal yang susut 18.3 peratus (187 kes berbanding 229), serta samun berkawan tanpa senjata api yang turun 9.67 peratus (28 berbanding 31 kes).

“Walaupun kes jenayah secara keseluruhannya masih terkawal, pihak PDRM IPD Kuching akan sentiasa meningkatkan usaha dan kempen pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa selamat dan terjamin di daerah Kuching ini,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Jumaat (3 Okt).

Bagi jenayah narkotik (Januari–Ogos 2025), 1,507 kertas siasatan dibuka dengan 1,583 tangkapan, berbanding 1,468 kertas siasatan dan 1,517 tangkapan dalam tempoh sama 2024.

Bagaimanapun, kes komersial menunjukkan peningkatan 53.3 peratus kepada 483 kertas siasatan (315 pada 2024), tetapi jumlah kerugian dilaporkan berkurang sekitar 20.46 peratus atau kira-kira RM5.70 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dari segi keselamatan jalan raya (1 Jan–31 Ogos), jumlah kemalangan menurun 1.5 peratus kepada 3,957 kes (4,019 pada 2024).

Namun, kemalangan maut meningkat kepada 19 kes (17 pada 2024), kecederaan parah naik kepada 15 kes (6 pada 2024) dan kecederaan ringan kepada 13 kes (5 pada 2024).

Antara punca utama ialah kecuaian pemandu termasuk tidak menjaga jarak, tidak fokus dan memandu melebihi had laju.

Dari aspek penguatkuasaan trafik (Januari–Ogos 2025), 37,113 saman dikeluarkan, iaitu meningkat 13.8 peratus berbanding 32,620 saman tahun lalu.

Seramai 26 individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 (pemanduan berbahaya/samseng jalanan) dan 10 lagi di bawah Seksyen 45 APJ 1987 (memandu di bawah pengaruh alkohol).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *