Pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menampilkan aksi cemerlang apabila menundukkan pasukan Ketua Polis Daerah Zon Selatan dan Pegawai Kanan IPD Kuching dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan bola sepak persahabatan “Senior Officers Football Match 2025” di Stadium Sarawak, malam Isnin (15 Sept 2025).
Perlawanan yang bermula jam 8 malam itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan menurunkan barisan pegawai kanan masing-masing.
Kehebatan IPK Sarawak jelas terserlah apabila Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL), SAC Zulfikar yang menyarung jersi nombor 7, muncul penjaring terbanyak sekali gus menjadi nadi serangan pasukan.
Turut mencuri tumpuan ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mancha Ata yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan hasil ketenangan mengemudi pasukan dan aksi bertenaga.
Biarpun tewas, pasukan IPD Kuching turut mencatat kenangan manis apabila ASP Bunsa Jembat, Ketua Cawangan Khas Daerah Simunjan yang memakai jersi nombor 24 menerima gelaran Pemain Terpantas selepas mempamerkan larian pantas serta gerakan berbahaya ke arah kubu lawan.
Perlawanan ini bukan sahaja mempamerkan kehebatan bola sepak dalam kalangan pegawai kanan polis, malah menjadi medan mengeratkan ukhuwah dan semangat setiakawan antara pegawai kanan IPK Sarawak dan IPD Kuching.