Jenama dari tanah tinggi Lawas, LINAWA raih pensijilan halal, buka peluang pasaran lebih luas

LINAWA, jenama tempatan dari Tanah Tinggi Lawas, baru-baru ini memperoleh pensijilan halal bagi rangkaian produk beras Adan dan kopi Arabica, sekali gus menandakan satu pencapaian penting buat jenama itu serta komuniti Lun Bawang.

Petronas memaklumkan, dengan pensijilan tersebut, produk LINAWA kini bersedia menembusi pasar raya besar di Sabah dan Sarawak, selain memperluas pasaran yang sebelum ini tertumpu kepada jualan dalam talian.

“Rangkaian beras Adan LINAWA menawarkan tiga varieti iaitu beras Adan Putih, Merah dan Hitam yang diusahakan di Lawas menggunakan sumber air bersih tanah tinggi. Persekitaran semula jadi itu menyumbang kepada tekstur dan aroma unik beras berkenaan.

“Bagi rangkaian kopi pula, LINAWA menawarkan biji kopi Arabica panggang sederhana yang ditanam secara tempatan di Long Sukang, Long Luping dan kampung sekitarnya. Kopi itu memenuhi cita rasa pengguna yang menghargai kopi Arabica asli dari tanah tinggi,” menurut PETRONAS dalam kenyataan pada Rabu (27 Mei 2026).

Produk utamanya, kopi Adan Arabica, menggabungkan beras Adan dengan biji kopi Arabica. Dihasilkan oleh petani Lun Bawang, campuran unik itu menawarkan aroma dan rasa tersendiri selain mengandungi serat pemakanan serta antioksidan daripada beras Adan.

Beras Adan dan kopi Arabica keluaran LINAWA turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Cemerlang dan Anugerah Perak pada Malaysia Technology Expo Sustainable Energy and Green Technology International Innovation Awards.

“Produk ini mewakili lebih daripada sekadar inovasi tempatan. Ia mencerminkan daya tahan dan potensi komuniti tanah tinggi kami. Pensijilan halal ini membolehkan kami menembusi pasaran lebih luas dan berkembang secara mampan,” kata Presiden Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad merangkap Ketua Kampung Kampung Berayong Tengah, Sulaiman Palong.

Produk berkenaan dibangunkan menerusi Towards Uplifting Lives Programme (TULiP), iaitu inisiatif impak sosial oleh PETRONAS yang bertujuan memperkukuh keupayaan keusahawanan komuniti serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di Lawas.

Sejak 2021, dengan sokongan PETRONAS dan Yayasan Hasanah, Institut Kehidupan Pintar dan Mampan Universiti Teknologi PETRONAS telah bekerjasama rapat dengan komuniti setempat dalam aspek latihan keusahawanan, bimbingan, pembangunan keupayaan, inovasi produk dan akses pasaran.

“Kini, Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad beroperasi secara tersusun dengan keanggotaan 30 ahli bagi menyokong petani tempatan serta memajukan pengkomersialan produk pertanian tanah tinggi,” menurut Petronas.