KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS X OIL & GAS @KOTA KİNABALU 2026 TAWAR LEBIH 3,000 PELUANG PEKERJAAN

Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini di Sabah International Convention Centre (SICC), dengan sebahagian besar peluang yang ditawarkan melibatkan industri minyak dan gas.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), penganjuran karnival ini menjadi platform strategik bagi anak tempatan Sabah, graduan baharu serta lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk meneroka peluang kerjaya dalam pasaran pekerjaan bergaji tinggi, dengan tawaran gaji mencecah sehingga RM12,000 sebulan.

Karnival berkenaan turut mendapat penyertaan daripada 30 majikan terkemuka dan merupakan kesinambungan kepada penganjuran karnival kerjaya yang berlangsung di Kuala Terengganu pada tahun lalu. Menerusi program tersebut, seramai 341 pencari kerja berjaya menerima tawaran pekerjaan hasil daripada padanan kerjaya yang dilaksanakan.

Selain peluang pekerjaan, pengunjung turut berpeluang meneroka potensi dan kecenderungan kerjaya masing-masing menerusi MYFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC). Kemudahan kiosk interaktif itu membolehkan pengunjung menjalani penilaian personaliti serta mengenal pasti bidang kerjaya yang bersesuaian berdasarkan minat, kecenderungan dan potensi diri.

Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026

Turut diperkenalkan ialah inisiatif baharu Metaverse MYFutureJobs, iaitu platform temu duga secara maya yang dibawakan bagi memperluaskan akses pencari kerja kepada peluang pekerjaan melalui saluran digital.

Karnival ini juga akan menampilkan sesi Pocket Talk bersama Pak Tam yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan prospek kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai agensi dan rakan strategik turut mengambil bahagian dengan menyediakan perkhidmatan serta maklumat berkaitan pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran. Antaranya ialah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang akan mempamerkan maklumat mengenai latihan kemahiran di bawah Kerajaan Negeri Sabah, serta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JAPENS) yang akan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan dan inisiatif yang disediakan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, pencari kerja yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri minyak dan gas digalakkan hadir ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 bagi mendapatkan peluang pekerjaan, meneroka pilihan kerjaya serta meningkatkan kemahiran.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang MYFutureJobs di https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/.