Kadar pengangguran di Sabah menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan penurunan ketara kepada 5.5 peratus pada suku pertama 2026, berbanding 6 peratus pada suku keempat 2025.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Sabah merekodkan penurunan kadar pengangguran paling ketara berbanding negeri-negeri lain di Malaysia bagi tempoh tersebut.
Perkembangan positif dalam pasaran buruh itu mencerminkan keberhasilan pelaksanaan pelbagai dasar dan usaha oleh Kerajaan Negeri, selain kerjasama agensi di peringkat Persekutuan.
“Menerusi usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak 71,821 penempatan pekerjaan telah berjaya direkodkan di Sabah bagi tempoh 2020 hingga 24 Julai 2026.
“Ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu rakyat Sabah memperoleh pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka,” kata beliau yang hadir mewakili Ketua Menteri Sabah dalam majlis itu hari ini.
Justeru itu, beliau menjelaskan Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas @ Kota Kinabalu 2026 dilihat sebagai antara inisiatif strategik yang berupaya menangani kadar pengangguran di Sabah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata, karnival kerjaya ini bukanlah sekadar platform menawarkan
pekerjaan, malah menjadi medan yang menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan sebenar industri.
“Bagi tempoh Januari 2026 sehingga 24 Julai lalu, lebih 327 karnival dan program kerjaya dianjurkan dengan lebih 11,000 pencari kerja hadir mencari pekerjaan bersesuaian di Sabah.
“Sementara menerusi platform perkhidmatan pekerjaan nasional MYFutureJobs, lebih 95,000 kekosongan jawatan di tawarkan dengan jumlah majikan di Sabah yang mendaftar dengan portal ini menjangkau 15,000.
Menurut beliau lagi, KESUMA sedang melaksanakan anjakan paradigma dalam memperkukuh dan memperkasa pasaran buruh negeri Sabah menerusi pelaksanaan Sabah Talent Development Centre (STDC) sebagai platform strategik yang mengintegrasikan pembangunan bakat selari dengan keperluan industri dan maklumat pasaran buruh dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja. KESUMA juga akan memperkukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri Sabah, industri, institusi pendidikan dan penyedia latihan bagi memastikan bakat tempatan lebih responsif, kompetitif dan selari dengan keperluan pekerjaan masa hadapan.
Selepas Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas ini, karnival sama akan diteruskan ke Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 17 hingga 18 Oktober 2026 dalam usaha memperluaskan akses kepada peluang kerjaya industri minyak dan gas kepada graduan, pencari kerja serta bakat tempatan di wilayah Borneo.
Layari www.myfuturejobs.gov.my untuk mengemukakan permohonan pekerjaan dan maklumat lanjut mengenai Karnival Kerjaya MYFutureJobs selain ribuan peluang pekerjaan yang ditawarkan.