Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang melibatkan 14 jenis barangan harga terkawal dipantau rapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak bagi memastikan pematuhan harga di peringkat peniaga.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Anak Dominic Barin, berkata pemantauan itu dilaksanakan menerusi pemeriksaan berterusan di seluruh negeri, termasuk pasar raya, pasar awam, pasar tani dan kedai runcit.
Menurut beliau, SHMMP Krismas 2025 berkuat kuasa selama lima hari, iaitu dua hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
Katanya, pelaksanaan skim itu di Sarawak melibatkan 14 jenis barangan harga terkawal yang telah diwartakan, antaranya ayam, sayur-sayuran terpilih, bawang, kentang serta daging babi di peringkat ladang dan runcit.
“Bagi memastikan pematuhan, KPDN Sarawak telah menggerakkan seramai 207 Pegawai Penguat Kuasa dan 101 Pegawai Pemantau Harga di lokasi strategik seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan dilaksanakan bagi memantau keberadaan bekalan serta pematuhan harga, selain menyiasat sebarang aduan pengguna supaya tindakan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Tambahnya, sehingga 19 Disember 2025, KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 125,296 premis perniagaan, sekali gus menghasilkan 399 kes di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM16.44 juta serta kutipan kompaun sebanyak RM826,550.
Dalam perkembangan berkaitan, sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai hingga 19 Disember 2025, pemeriksaan turut dijalankan ke atas 175 premis melibatkan 651 jenis barangan, dengan 11 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua peniaga supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, manakala orang ramai digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN.