Sebanyak 90 kertas siasatan berkaitan penipuan dalam talian (phone scam) telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sejak 1 Januari hingga 20 Oktober 2025 membabitkan jumlah kerugian RM4,609,375.50.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun yang kerugian RM71,000 selepas diperdaya suspek yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans dan pihak berkuasa.
“Dalam kejadian pada Mac lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat insuran dan mendakwa beliau membuat tuntutan pembayaran kesihatan.
“Selepas menafikan perkara itu, mangsa disambungkan kepada kononnya ‘pegawai penyiasat polis’ yang memintanya membuat pemindahan wang bagi tujuan siasatan kewangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (21 Okt).
Menurut beliau, mangsa membuat 14 transaksi ke 11 akaun bank berbeza antara 30 Mei hingga 4 Oktober 2025 sebelum menyedari dirinya ditipu.
Laporan polis dibuat wanita itu pada Isnin (20 Okt).
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Justeru, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
Dikongsikan beberapa tips keselamatan untuk mengelakkan daripada ditipu oleh scammer atau sindiket “phone scam”:
1. Jangan panik sekiranya menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri daripada mana-mana agensi penguat kuasa. Jangan layan dan matikan panggilan telefon.
2. Agensi penguatkuasaan tidak dapat menyambungkan panggilan telefon ke agensi penguat kuasa yang lain dalam masa yang sama. Setiap urusan kerajaan adalah di jabatan agensi kerajaan dan bukannya melalui urusan atas talian.
3. Jangan sesekali memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali dan jangan sesekali memberikan nombor akaun serta maklumat perbankan kepada individu yang tidak dikenali.
4. Hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah penipuan.
