Lelaki rugi RM728,800 ditipu pelaburan saham tidak wujud

Seorang lelaki berusia 54 tahun mengalami kerugian RM728,800 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan menerusi media sosial di Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menerima laporan berhubung kes berkenaan selepas mangsa menyedari tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan digunakan.

Menurutnya, kejadian bermula pada 28 Disember 2025apabila mangsa melihat iklan pelaburan saham melalui aplikasi Facebook sebelum menekan pautan yang menghubungkannya ke aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Vivian Chow yang mendakwa bertindak sebagai ‘trade assistant’ bagi satu  pelaburan, sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (10 Januari 2026).

ACP Alexson berkata, mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan bagi tujuan memasukkan dana pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan.

Beliau berkata, mangsa seterusnya membuat pembayaran secara berperingkat ke enam akaun bank berbeza melibatkan 10 transaksi pemindahan dalam talian.

“Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi pelaburan tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan untuk:

  • Menyemak senarai entiti berlesen di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my).

  • Jangan mudah percaya pada tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

  • Sekiranya sedari telah ditipu dan mengalami kerugian, boleh membuat aduan di talian hotline NSRC di nombor 997 dalam tempoh 24 jam.

  • Melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui panggilan hotline, mesej atau WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak melalui talian [011-62890089 / kjsjkswk@rmp.gov.my].