Lima nelayan asing ceroboh perairan Miri ditahan

Vesel dan nelayan asing yang ditahan Maritim Malaysia.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) di sekitar 70 batu nautika barat laut Suai, Miri pada pukul 7.16 malam, 31 Oktober 2025.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, penahanan itu dibuat hasil perkongsian maklumat antara bahagian perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia dalam menangani pencerobohan VNA di Sarawak.

Jelasnya dalam kenyataan pada Isnin (3 Nov), vesel itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5.45 petang, Jumaat lalu.

“Sejurus menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, vesel tersebut cuba melarikan diri serta bertindak agresif sebelum berjaya ditahan bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lima kru termasuk tekong yang kesemua lelaki berumur dalam lingkungan 36 hingga 53 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa disyaki warga Vietnam,” katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.

Tekong turut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili mengenai kemasukan ke perairan negara ini.

Kesemua kru serta tekong vesel berkenaan juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25(a) AktaPerikanan 1985, manakala bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Antara barangan yang disita ialah 200 kilogram hasil tangkapan berupa ikan tuna, 300 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan vesel dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM2 juta.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia akan sentiasa memastikan perairan negara sentiasa dikawal dan dilindungi daripada pencerobohan vesel asing yang cuba mengaut hasil laut negara secara haram menerusi kawalan serta rondaan bagi memastikan undang-undang di perairan negara sentiasa dipatuhi,” tegasnya.

Sebarang kegiatan mencurigakan atau kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri (085-649111) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *