Maklumat orang awam berjaya membantu polis menahan seorang wanita disyaki penagih dadah dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah dan Op Tapis Khas yang dijalankan di sekitar daerah Saratok, malam Khamis (23 Okt).
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata susulan maklumat diterima, sepasukan anggota Task Force Op Tapis diketuai Inspektor Englebert telah membuat rondaan di sebuah kampung dan menahan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, operasi yang dijalankan dari jam 8 malam hingga 11.59 malam itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap 60 individu dan 49 kenderaan di beberapa lokasi panas sekitar Saratok.
Polis turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.
Selain itu, dua motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.
Mathew berkata, operasi membabitkan kekuatan 20 anggota daripada pelbagai unit termasuk BSPTD, BSJND, BPJKK dan Balai Polis Saratok itu bertujuan meningkatkan kehadiran polis, mencegah jenayah serta mengekang penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.