Mayat seorang lelaki warga emas yang hilang selepas bot dinaikinya karam di Sungai Bayai, berhampiran Bayai Water Treatment Plant di Sri Aman pada Ahad ditemui awal pagi Isnin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mayat Banggau Ngilas, 71 tahun, dijumpai pada jam 3.48 pagi oleh penduduk kampung di kira-kira 200 meter dari lokasi bot karam.
Bot yang dinaikinya bersama menantu karam pada Ahad lalu, ketika dalam perjalanan pulang dari ladang sawit.
Bot yang membawa muatan buah sawit itu karam selepas melanggar sebatang kayu di tengah sungai.
Menantunya, Roys Misen, 36, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala Banggau dibawa arus.