Pasukan murid berketurunan Penan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat pencapaian membanggakan pada Pertandingan Dron Antarabangsa Hula for Learning 2026 di Cyberport, Hong Kong pada Selasa (27 Jan 2026).
Menurut kenyataan yang diterima Sarawak Edition, mewakili Malaysia, pasukan dari sekolah luar bandar itu berjaya meraih Anugerah Bakat Paling Berpotensi daripada keseluruhan 200 pasukan yang bertanding, sekali gus menonjolkan keupayaan pelajar pedalaman Sarawak bersaing di pentas antarabangsa.
“Selain anugerah berkenaan, SK Batu Bungan turut menduduki tempat kelima bagi acara Drone AR Shooting & Obstacle Racing serta tempat kelima dalam acara Drone Cooperative Flight Challenge bagi kategori sekolah rendah yang disertai 120 pasukan.
“Dalam kejohanan sama, SJKC Kwang Chien, Sarikei muncul juara bagi acara Drone AR Shooting & Obstacle Racing dan naib juara Drone Cooperative Flight Challenge,” menurut kenyataan itu.
Secara keseluruhan, lima sekolah dari Sarawak yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak berjaya meraih beberapa kedudukan podium, menewaskan pasukan dari China, Korea Selatan, Thailand dan Hong Kong.
Turut menyertai pertandingan berprestij itu ialah SMK Jalan Arang dan SJKC Chung Hua No. 2 dari Kuching serta Woodland International School, Sibu, yang masing-masing mempamerkan prestasi memberangsangkan.
“Pencapaian pelajar SK Batu Bungan itu mencerminkan keberkesanan usaha memperluas pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ke kawasan luar bandar, selain membuka ruang kepada bakat muda komuniti pedalaman untuk diketengahkan di peringkat global,” tulis kenyataan itu.
