Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 418.1 Lebuhraya Pan Borneo, berhampiran simpang Saratok pada Rabu (5 Nov).
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Maggie berkata, kejadian kira-kira jam 11.27 pagi itu melibatkan sebuah pikap dan seorang pejalan kaki (mangsa yang meninggal dunia).
Mangsa dikenali sebagai Kornelius Kenedi, 46, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu pikap dalam perjalanan ke Kuching dan sampai di tempat kejadian tidak sempat elak pejalan kaki yang melintas jalan secara tiba-tiba.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah terpelanting dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemandu berusia 25 tahun itu tidak mengalami kecederaan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.
“Cuaca baik dan jalan kering semasa kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.