Pelajar dari lapan sekolah menengah di Baram diberi pendedahan asas pengaturcaraan Python serta penggunaan kit Edu:Pico melalui bengkel interaktif anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) selama dua hari di Baram.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh, selain mempelajari konsep asas, peserta turut meneroka komponen kit Edu:Pico dan menyiapkan cabaran membina roda berputar menggunakan kadbod serta batang paip.
“Hasil projek itu kemudian diuji kelajuannya dengan program yang dibangunkan sendiri oleh pelajar, sekali gus mencetuskan kreativiti serta minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya dalam hantaran ke laman sosial pada Rabu.

Bengkel Edu:Pico itu melibatkan penyertaan pelajar dari SMK Telang Usan, SMK Marudi, SMK Long Lama, SMK Tinjar, SMK Bario, SMK Temenggong Datuk Lawai Jau, SMK Long Bedian dan SMK Tutoh Apoh.
Menurut Datuk Len yang juga Pengerusi TEGAS, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa pelajar luar bandar dengan kemahiran digital serta menyokong agenda inovasi digital negeri.
“Bengkel ini juga adalah antara inisiatif di bawah gerakan #DigitalInnovation4All yang menyokong aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan melahirkan generasi inovator masa depan,” jelas kenyataan itu.