PENINGKATAN hasil Sarawak yang diunjurkan mencecah RM15.1 bilion pada 2027 dijangka memperkukuh keupayaan kerajaan negeri membiayai pelbagai projek pembangunan, khususnya infrastruktur jalan raya dan bekalan air.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata peningkatan hasil negeri lebih dua kali ganda daripada RM5.9 bilion pada 2016 kepada jangkaan RM13.6 bilion tahun 2026 membolehkan lebih banyak sumber digerakkan untuk memenuhi keutamaan pembangunan negeri.
Beliau berkata, unjuran hasil RM15.1 bilion tahun 2027, seperti diumumkan ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027, adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri itu.
“Peningkatan hasil membolehkan kita menggerakkan lebih banyak sumber untuk membiayai keutamaan pembangunan Sarawak, dengan manfaatnya disalurkan semula kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching pada Rabu (21 Okt. 2026).
Menurutnya, antara projek utama yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak ialah Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua yang bernilai kira-kira RM11 bilion.
Kedua-dua projek itu merangkumi pembinaan 21 jambatan utama, 193 kilometer jalan baharu serta penaiktarafan 425 kilometer jalan sedia ada.
Abang Johari berkata, rangkaian Jalan Pesisir dijangka siap pada 2027, manakala Jalan Utama Kedua disasarkan siap pada 2030.
Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM2.27 bilion pada 2027 bagi projek berkenaan dan jalan utama lain, termasuk Lebuh Raya Pesisir Utara.
Selain itu, projek jalan sepanjang 142 kilometer bernilai RM3.8 bilion sedang dibangunkan di Baram bagi menghubungkan Miri, Marudi, Mulu, Long Panai dan Long Lama menerusi laluan yang dikenali sebagai 3M2L.
Laluan Miri ke Marudi akan dibina mengikut piawaian R5, manakala laluan Marudi ke Mulu menggunakan piawaian R3.
Dalam sektor bekalan air, Kerajaan Sarawak sedang menaik taraf dan menggantikan lebih 2,700 kilometer paip air di seluruh Sarawak bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan kadar air tidak berhasil.
Beliau berkata, pelaburan pembangunan turut meliputi aspek kesejahteraan rakyat melalui akses pendidikan yang lebih baik, bantuan kebajikan bersasar dan peluang meningkatkan kualiti hidup.
“Selain pembangunan infrastruktur fizikal, kita juga melabur dalam kesejahteraan dan masa depan rakyat melalui akses pendidikan yang lebih baik, bantuan kebajikan bersasar serta peluang kepada semua rakyat Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
