Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kota Samarahan–Asajaya pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, mangsa yang berumur 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 7.22 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Kereta tersebut yang dari arah Sebuyau menghala ke Kuching dan semasa sampai di KM17 Jalan Kota Samarahan/Asajaya tiba-tiba motosikal telah memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian depan sebelah kanan kereta yang sedang bergerak lurus.
“Akibat daripada kejadian tersebut, pemandu kereta tidak cedera manakala penunggang motosikal mengalami cedera parah.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal di tempat kejadian pada jam 7.45 malam dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pemandu kereta berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Trafik Kota Samarahan untuk pemeriksaan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan, manakala permukaan jalan dua hala di lokasi berkenaan didapati basah dan licin.