Penunggang motosikal maut, pembonceng cedera dalam kemalangan di Kota Samarahan

Lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal. Gambar IPD Kota Samarahan

Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera ringan selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Kilometer 14 Jalan Kota Samarahan–Tabuan Jaya, awal pagi Jumaat (17 Okt).

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.33 tengah malam dan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal dan sebuah kereta.

“Siasatan awal mendapati kereta terbabit dari arah Kuching menuju ke Taman Samarindah dan ketika melalui lampu isyarat yang menunjukkan hijau, ia telah dirempuh motosikal yang datang dari arah kanan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng wanita berusia 24 tahun mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya lagi, kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Balai Trafik Kota Samarahan untuk pemeriksaan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HUS bagi proses bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *