Perjalanan tanpa skrip seorang pelaut dari Sarawak

Di laut, penampilan menjadi perkara sampingan. Irfan pernah botak, mengikat rambutnya seperti ekor kuda, dan kebanyakannya mengekalkan gaya rambut pendek praktikal ala ‘crew cut’.

Ombak tidak menunggu dia bersedia.

Dalam satu pelayaran musim sejuk di Laut Utara, kapal yang dinaikinya terumbang-ambing dibadai ombak besar tanpa henti. Peralatan terpaksa diikat kemas apabila barang-barang longgar meluncur di atas dek. Malah, menulis di dalam buku log juga menjadi satu cabaran.

“Tiada masa langsung untuk rasa mabuk laut,” kata Irfan Naushir, 33. “Semua benda bergerak dan berterbangan.”

Pemandangan Lautan Hindi dari LPGC Kodaijisan pada 2026. Foto dikongsikan Irfan

Berbulan-bulan lamanya, itulah realiti kehidupannya. Tempoh panjang berjauhan dari rumah. Cuaca yang tidak menentu. Rutin harian yang ditentukan bukan oleh keselesaan, tetapi oleh operasi kerja. Tidur hanya datang dalam sela waktu singkat dan setiap tugasan, sekecil mana pun, memerlukan fokus penuh.

Ia adalah kehidupan yang hanya segelintir benar-benar faham dan satu kehidupan yang tidak pernah dirancang Irfan.

Dilahirkan dan dibesarkan di Petra Jaya, Kuching, beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada usia 11 tahun bersama ibu bapa serta empat adiknya. Beliau menerima pendidikan awal di SK Gita sebelum melanjutkan pelajaran di Victoria Institution dan ketika itulah beliau perlu menentukan hala tuju hidupnya.

“Saya mahu jadi cef,” katanya mengimbau kembali.

Namun cita-cita itu, seperti kebanyakan remaja seusianya, berubah mengikut masa. Minat terhadap masakan bertukar kepada seni bina sebelum akhirnya beliau mencari sesuatu yang lebih praktikal dan mampan kerana ibu bapanya menegaskan bahawa setiap daripada lima beradik itu perlu mencari jalan hidup sendiri.

Apabila tawaran universiti tiba, peluang yang tersedia menjadi penentu pilihannya. Tawaran melanjutkan pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM), satu-satunya akademi maritim khusus di negara ini, hadir bersama pembiayaan penuh serta laluan terus ke industri khusus.

Tanpa benar-benar mengetahui apa yang menantinya, Irfan menerima tawaran tersebut.

Di kampus utama ALAM di Melaka, beliau memulakan bab pertama hidupnya yang tidak pernah dirancang iaitu sebagai kadet. Disiplinnya ketat, rutin tersusun dan jangkaan amat jelas. Minat itu tidak hadir secara semula jadi, namun Irfan terus bertahan.

“Kalau saya mula sesuatu, saya kena habiskan. Saya perlu teruskan dan tiada jalan untuk berpatah balik.”

Mentaliti itu membawanya ke pelayaran pertama pada usia 18 tahun, belayar dari Bintulu ke Jepun. Berdiri di anjungan kapal sepanjang hampir 300 meter, beliau menyaksikan proses navigasi berlangsung sambil tertanya-tanya sama ada dirinya benar-benar mampu memahaminya suatu hari nanti. Beberapa tahun kemudian, beliaulah individu yang mengetuai kapal tersebut.

Menjelang 2014, beliau mula belayar secara profesional sebagai pegawai ketiga bersama MISC Berhad, syarikat yang turut melatihnya menerusi akademi maritimnya, ALAM. Pada 2016, beliau menyertai Wilhelmsen Ship Management, syarikat dari Norway yang terkenal dengan kepakaran global dalam operasi kapal, pengurusan kru dan keselamatan maritim.

Bekerja bersama kru dari seluruh dunia, pengalaman Irfan (kanan) di laut sedikit demi sedikit membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin yang lebih terbuka dan mudah menyesuaikan diri.

Kerjaya Irfan pantas ditentukan oleh pergerakan merentas lautan dan tugasan mencabar.

Di atas kapal pengangkut LNG berskala besar, pelayarannya merentasi samudera. Beliau menghabiskan berbulan-bulan di laut, mengangkut kargo bernilai jutaan dolar dari pelbagai negara ke Timur Jauh, Eropah dan Mediterranean.

Di kapal yang lebih kecil di Laut Utara pula, operasi berjalan hampir setiap hari dengan jadual ketat serta urusan pemunggahan dan pemindahan kargo yang kerap di pelabuhan United Kingdom, Belgium, Belanda, Denmark, Sweden dan Norway yang memerlukannya meninggalkan ruang yang sangat kecil untuk sebarang kesilapan.

Untuk meningkat naik dalam kerjaya, seseorang memerlukan bertahun-tahun pengalaman di laut, sijil profesional dan pengalaman operasi. Bagi kebanyakan orang, menjadi kapten mengambil masa lebih sedekad.

Irfan melakukannya dalam tempoh lapan tahun.

Beliau mengambil tugasan tambahan ketika cuti di darat, mengorbankan waktu rehat dan masa bersama keluarga demi mengumpul tempoh pelayaran yang diperlukan. Ia satu pengorbanan besar, namun mempercepatkan perjalanan kerjayanya.

Pada 2019, ketika berusia 26 tahun, beliau memperoleh lesen sarjana (master’s license) dan menjadi kapten pada 2022 ketika berumur 29 tahun.

Irfan (tengah) bersama Pegawai Kedua, Kaustubh (kiri) dan Pegawai Ketiga, Ivan ketika melalui Terusan Suez, Mesir.

Di sebalik perjalanan itu, ada juga detik yang lebih santai.

Dalam satu gambar, Irfan kelihatan hampir menyerupai Tom Cruise. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan penulis. Rambut ikal sederhana panjang, kulit sawo matang, tubuh yang kurus dan senyuman bersahaja yang tampak seperti sedia untuk kamera menjadikan persamaan itu sukar diabaikan, satu perbandingan yang dianggap Irfan lebih lucu daripada tepat. Namun rakan sekerjanya pula tidak begitu bersetuju.

“Mereka merayu supaya saya jangan simpan rambut panjang macam itu,” kata Irfan sambil ketawa kecil. Kini dengan potongan rambut pendek ala tentera, beliau menambah, “Mereka kata tak sesuai dengan saya.”

Di tengah laut, penampilan tidak banyak membawa makna. Tiada penonton, tiada jangkaan selain menyelesaikan tugas. Rambut menjadi panjang, jambang datang dan pergi, dan cermin tidak lagi sepenting mesin, cuaca serta keputusan yang perlu dibuat.

Menjelang 2025, Irfan pernah belayar bersama Fratelli Cosulich, Mitsui OSK Lines (MOL), serta bekerja dengan Seatrium (dahulunya dikenali sebagai Semborp Marine), dengan kira-kira tujuh tahun setengah pengalaman berada di laut.

Kini, beliau beroperasi dari darat sebagai Marine & HSEQ Manager bersama Wilhelmsen Ship Management, menyelia operasi maritim, keselamatan dan jaminan kualiti bagi armada 34 kapal gas.

Walaupun tidak lagi berhadapan ribut secara langsung, tanggungjawabnya tetap besar. Berpangkalan di Kuala Lumpur, beliau kini menyelaras operasi merentasi zon waktu, memberi nasihat kepada kapal berkaitan navigasi dan operasi kargo, serta menangani insiden yang boleh menjejaskan kapal, kargo dan kru.

Dahulu, beliau bergantung kepada kru dan naluri sendiri untuk meredah ribut. Kini, beliau bergantung kepada kepakaran, koordinasi dan pertimbangan profesional untuk melindungi kapal, kargo dan nyawa dari daratan.

Bagi Irfan, lautan mungkin tidak lagi berada di bawah kakinya, namun ia masih menjadi pusat kepada segala yang dilakukannya.

Irfan (duduk, kedua dari kiri) bersama krewnya di atas HongKong Energy, sebuah kapal pengangkut LNG, ketika belayar merentasi Lautan Atlantik menuju Trinidad dan Tobago.
Foto terbaharu Irfan (ketiga dari kiri) bersama rakan sekerjanya semasa Persidangan Pegawai di Kuala Lumpur.

Mengimbas kembali perjalanan itu, Irfan mengakui ALAM serta latihan awal yang diterimanya banyak membentuk dirinya. Tahun-tahun awal itu bukan sahaja memberinya kemahiran teknikal, tetapi juga daya tahan dan kemampuan membuat keputusan yang diperlukan untuk mengharungi kerjaya mencabar.

ALAM merupakan penyedia pendidikan dan latihan maritim terkemuka di Asia dengan kampus lengkap seluas 68 ekar yang terletak di kawasan persekitaran nyaman Kuala Sungai Baru, Melaka.

Ditubuhkan pada 1977 sebagai Pusat Latihan Maritim Malaysia, ALAM dimiliki sepenuhnya oleh MISC Berhad, anak syarikat PETRONAS dan antara konglomerat perkapalan terbesar dunia.

Akademi itu menawarkan pelbagai kursus maritim lengkap yang disokong oleh kemudahan pengajaran moden serta pengalaman dan kepakaran tenaga pengajar tempatan dan ekspatriat sepenuh masa.

Irfan turut menekankan peluang yang semakin luas untuk anak muda Sarawak dalam sektor maritim, susulan keutamaan yang diberikan PETRONAS terhadap bakat tempatan bagi peranan luar pesisir dan maritim. Hasilnya, kemasukan ke industri kini lebih mudah berbanding sebelum ini.

“Peluang seperti ini boleh mengubah hidup,” katanya. “Tetapi ia akan sia-sia kalau kita sendiri tidak merebutnya.”

Daripada seorang anak muda yang tidak pasti arah tuju hidupnya kepada seorang kapten yang mengemudi antara perairan paling mencabar di dunia, perjalanan Irfan tidak pernah mudah.

Ia dibentuk oleh malam-malam yang panjang, lautan bergelora dan pilihan-pilihan sukar. Dan akhirnya, cabaran-cabaran itulah yang menentukan haluan hidupnya.

Irfan berusia 17 tahun (kedua dari kiri) ketika menuntut di ALAM.