Paluan gendang, alat muzik tradisi Iban, bergema lapan jam tanpa henti di Dewan Mengiling, Batang Ai sempena sambutan ulang tahun ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai (HEP), sekali gus mencatat rekod Malaysia Book of Records bagi Persembahan Gendang ‘Batang Ai’ Terpanjang Tanpa Henti.
Menurut Sarawak Energy Berhad dalam kenyataan pada Isnin, 129 peserta mewakili tujuh kumpulan tampil mempersembahkan rentak warisan seperti Malut, Ngelaki, Bebendai, Gendang Indu, Tanggung, Tanjak Ai, Pelandok, Betal dan Tawak.
Ia menggambarkan semangat dan identiti komuniti Iban di Batang Ai.
Persembahan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang pada 3 Oktober itu disokong oleh Sarawak Energy sebagai sebahagian daripada acara kemuncak sambutan 40 tahun empangan hidro pertama Sarawak itu.
Ia mencerminkan bagaimana tradisi tempatan terus subur di samping kemajuan moden yang dibawa pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Majlis ulang tahun yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg pada Isnin menandakan empat dekad sumbangan Batang Ai dalam membekalkan tenaga bersih, memperkukuh keselamatan tenaga negeri dan menyokong agenda pembangunan lestari.
Dalam kenyataan yang sama, Premier dipetik sebagai berkata Batang Ai kekal sebagai simbol kepada apa yang boleh dicapai apabila berpandangan jauh, kejuruteraan unggul dan tanggungjawab sosial berpadu.
“Ia bukan sahaja menjana kemajuan Sarawak, tetapi turut membentuk hala tuju kita sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” katanya.