Pasukan Puteri Bunian Walinong Sari muncul juara acara berprestij Raja Sungai 30 Lelaki Akhir Piala ADUN N58 Balingian sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 pada Pesta Bederun Balingian 2025 yang melabuhkan tirai pada Ahad (7 Sept 2025).
Tempat kedua dimenangi pasukan Kasihnya Warisan, manakala Warisan Tropika di kedudukan ketiga.
Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Hj Arbi di tapak pesta, pekan Balingian.
Pesta yang berlangsung sejak 29 Ogos itu menutup tirai penuh meriah dengan majlis penangguhan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sebanyak 31 acara sungai dipertandingkan termasuk lumba perahu bidar dan perahu berhias, dengan jumlah keseluruhan hadiah mencecah RM120,000. Bagi pelbagai acara darat pula, hadiah ditawarkan sehingga RM31,000.
Selain sukan air, pengunjung turut dihiburkan dengan acara e-sukan Mobile Legend, sukan tradisional, pertandingan layang-layang, ratu dan raja cilik, pertandingan memancing, memasak, foto dan video, konsert rakyat serta cabutan bertuah.
Dengan kos penganjuran RM3.85 juta, pesta tahunan itu bukan sahaja memelihara warisan budaya dan tradisi masyarakat, malah memperkukuh perpaduan pelbagai kaum serta merancakkan ekonomi setempat.
Turut hadir memeriahkan pesta ialah ADUN Tellian, Royston Valentine; ADUN Jepak, Iskandar Turkee; Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh; serta Yang Dipertua Persatuan Generasi Melanau Balingian merangkap Pengerusi Bersama Pesta Bederun Balingian 2025, Hafizzul Abdul Halim.