Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatat rampasan bernilai RM5.08 juta menerusi 10 siri operasi Op Taring Alpha, Bravo, Chiller dan Batas/Awas yang dijalankan antara 11 hingga 24 November 2025.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, berkata kejayaan itu melibatkan rampasan barangan seperti daging sejuk beku, minyak diesel bersubsidi, rokok, minuman keras, kenderaan serta jengkaut, selain penahanan 35 individu yang disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti penyeludupan.

Dalam kenyataan pada Selasa (25 Nov), beliau berkata pada 20 November pasukan Cawangan Risik Batalion 23 Sri Aman menahan seorang lelaki berumur 54 tahun di Engkilili dan merampas empat jengkaut, kenderaan pacuan 4×4 serta 700 liter diesel, dengan nilai keseluruhan RM1.324 juta.
Pada 12 November, operasi serentak Op Taring Alpha dan Bravo di empat premis seluruh Sarawak membawa kepada rampasan 16,700 liter diesel, 516 karton rokok, minuman keras, semi tanker trailer serta dua lori, dengan nilai keseluruhan RM1.011 juta. Enam lelaki termasuk seorang warga asing turut ditahan.
Pada 22 November, serbuan di Bintulu membawa kepada rampasan 1,278 karton rokok dan 3,429 liter minuman keras, selain sebuah van, bernilai RM1.51 juta. Hasil serbuan tersebut telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum lulus cukai Kastam.
Kes-kes Lain Mengikut Turutan Nilai Rampasan
* 11 November (Bau) – 8,200 kg daging sejuk beku & lori; nilai RM273,800
* 12 November (Lundu) – 2,400 kg daging sejuk beku & lori; nilai RM163,200
* 14 November (Kuching/Bau/Sematan) – rokok, arak & diesel; nilai RM325,742
* 18 November (Kuching) – 807 karton rokok, 643 liter arak; nilai RM312,548
* 20 November (Tebedu) – 144 kg sosej & perut lembu; nilai RM1,865
* 21 November (Tebedu) – 220 kg daging babi & van; nilai RM89,400
* 23 November (Kuching/Serian) – rokok & arak; nilai RM76,648
Menurut SAC Lim, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Veterinar, serta Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang seperti Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, dan Veterinary Public Health Ordinance 1999.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak 1 Januari hingga 24 November tahun ini, PGA Briged Sarawak telah mencatat RM390.7 juta rampasan, melibatkan 562 kes, 669 tangkapan, dan 340 kenderaan dirampas.
