Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu menahan sebuah kapal tangki yang membawa kira-kira 200,000 liter minyak diesel tanpa sebarang dokumen sah di perairan Kuala Tatau pada 1 November lalu.
Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Hj Ab Rahman Mat Hasan berkata, kapal berkenaan dikesan oleh sepasukan anggota Botronda PA 49 ketika melaksanakan Op Taring Gelora sekitar jam 11 pagi, kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Tatau.
“Hasil pemeriksaan terhadap kapal tersebut mendapati tujuh kru lelaki warga Myanmar berada di atas kapal berkenaan dan membawa muatan minyak diesel dianggarkan sebanyak 200,000 liter tanpa sebarang dokumen pemilikan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (6 Nov).
Menurut beliau, juragan serta semua awak-awak kapal itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran memiliki barang kawalan tersebut.
“Kesemua suspek dibawa ke PPM Wilayah 5 Bintulu untuk proses dokumentasi sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Bintulu bagi siasatan lanjut,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan, termasuk kapal dan bahan api, dianggarkan berjumlah RM40.77 juta.
Beliau menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.