KUCHING, 7 Mac – Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi wadah membentuk keperibadian lebih bertakwa serta mengukuhkan hubungan sesama manusia melalui amalan kebajikan dan sedekah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Islam menuntut umatnya saling berkasih sayang kerana iman seseorang tidak sempurna selagi tidak menyayangi saudaranya sebagaimana menyayangi diri sendiri.
“Iman seseorang tidak sempurna selagi kita tidak menyayangi saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis PETRONAS Memacu Kehidupan Aidilfitri 2026 di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap ADUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong, Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sharkawi, Naib Presiden Hubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS Ir. Norafizal Mat Saad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETRONAS dan Yayasan PETRONAS atas komitmen berterusan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Menurutnya, usaha itu selari dengan aspirasi gagasan MADANI yang menekankan nilai ihsan, iaitu keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa kampung serta wakil rakyat perlu bekerjasama memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara agar tiada sesiapa tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Pusat Khidmat Petra Jaya, Pejabat Daerah Kuching, Jawatankuasa Masjid Ikhwanul Islam serta pemimpin komuniti di kawasan Tupong, Samariang dan Satok.