Sebagai sokongan terhadap agenda tenaga boleh diperbaharui Sarawak, Sarawak Energy memperkenalkan skim subsidi di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM).
Inisiatif ini bertujuan menjadikan pemasangan solar bumbung lebih mudah diakses oleh pelanggan Tarif Domestik dengan mengurangkan kos permulaan, sekali gus membolehkan penjimatan tenaga jangka panjang serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Skim NEM membolehkan pelanggan domestik yang menggunakan sistem Solar Fotovoltaik (PV) menjana elektrik dan mengeksportnya ke grid.
Elektrik yang dieksport akan dikreditkan ke bil elektrik mereka, seterusnya mengurangkan kos bulanan sambil memberi peluang kepada komuniti untuk menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui Sarawak serta mengurangkan jejak karbon Malaysia.
Ia juga menyokong Sarawak Government’s Energy Transition Policy (SET-P) yang menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui lebih meluas serta usaha nyahkarbon demi pertumbuhan mampan.
Subsidi ini ditawarkan kepada pelanggan Tarif Domestik berdasarkan prinsip first-come, first-served, tertakluk kepada kuota yang ada. Jumlah subsidi berbeza mengikut saiz pemasangan: RM12,000 bagi sistem melebihi 6 hingga 50kWac, RM10,000 untuk sistem melebihi 3.5 hingga 6kWac, dan RM8,000 untuk sistem antara 2 hingga 3.5kWac.
Bagi memastikan keselamatan dan kualiti, semua pemasangan NEM mesti dilakukan oleh pemasang yang memiliki Sijil Pereka Solar PV daripada Electrical Inspectorate Unit (EIU) di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. Permohonan perlu dikemukakan ke Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Sarawak Energy bagi pihak pelanggan.
Subsidi ini hanya terpakai kepada pemasangan NEM yang berjaya bermula 2026 di bawah kategori Tarif Domestik untuk rumah kediaman bertanah. Ia terhad kepada satu pemasangan bagi setiap pemilik akaun dan tidak termasuk kediaman yang telah mempunyai sistem solar PV sedia ada.
Namun, pelanggan yang menandatangani kontrak NEM pada 2025 boleh mengemukakan tuntutan melalui SESCO untuk dipertimbangkan, dengan bayaran subsidi – jika diluluskan – bermula Januari 2026.
Bagi meningkatkan kesedaran mengenai program NEM dan skim subsidi ini, Sarawak Energy akan menyertai Malaysian Photovoltaic and Sustainable Energy Industry Association (MPSEA) Solar Roadshow pada 22 September 2025 di Hotel Sheraton, Kuching. Orang ramai dialu-alukan menghadiri pameran bergerak itu untuk mendapatkan maklumat lanjut dan meneroka peluang penyertaan dalam skim berkenaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai skim subsidi dan proses permohonan, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Sarawak Energy di sarawakenergy.com, menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 24/7 di 1300-88-3111, menggunakan aplikasi mudah alih SEB cares, atau menghantar emel ke customercare@sarawakenergy.com.
Pelanggan juga boleh berkunjung ke kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy untuk sebarang pertanyaan.